Rabu, 13 Ogos 2008

PKR jamin keselamatan media
Malaysiakini

PKR memberi jaminan insiden yang boleh menggugat keselamatan petugas media tidak akan berulang semasa liputan pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Malah, menurut laporan Bernama, parti itu akan menyediakan pelbagai kemudahan kepada media untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan lancar, kata Setiausaha PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim.

"Kita mahukan liputan yang terbaik dan kita telah pelajari daripada kesilapan lampau.

"Kita memberi jaminan insiden mengasari petugas media tidak akan berlaku lagi," katanya pada taklimat khas kepada media di Bukit Mentajam hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, jurugambar akhbar Guang Ming Daily, Loh Hooi Hoon, dikasari sekumpulan lelaki dipercayai penyokong PKR semasa membuat liputan ceramah penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seberang Jaya dekat Bukit Mertajam.

Abdul Malik berkata semua media akan dilayan dengan adil dan PKR akan membuka sebuah pusat media di bangunan Yayasan Aman di Kubang Semang di Bukit Mertajam untuk menyalurkan maklumat secara setempat.

Tiada ulasan: