Selasa, 12 Ogos 2008

Peralatan pilihan raya RM281 juta, Umno mohon ketepi penghakiman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 13 Okt untuk mendengar permohonan Bendahari Umno, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi untuk mengenepikan penghakiman yang diperoleh sebuah syarikat pembekal peralatan berhubung pembekalan peralatan pilihan raya bernilai RM218 juta.

Timbalan Pendaftar, Ahmad Faizadh Yahaya juga akan mendengar permohonan Abdul Azim untuk menggugurkan saman utama.

Syarikat itu, Elegant Advisory Sdn Bhd memperoleh penghakiman ingkar pada 17 Julai dan peguam yang mewakili Abdul Azim, Mohd Hafarizam Harun, memfailkan permohonan untuk mengenepikan penghakiman itu pada 24 Julai.

Pada 30 Julai, Abdul Azim juga berjaya memperoleh penangguhan sementara daripada mahkamah semasa menunggu pendengaran permohonan pengenepian penghakiman itu.

Mohd Hafarizam memberitahu pemberita Bendahari Umno itu tidak menerima writ saman dan sebab itu Abdul Azim tidak mengemukakan pembelaan yang menyebabkan
Timbalan Pendaftar memberikan penghakiman ingkar kepada syarikat itu.

Dalam writ saman yang difailkan melalui Tetuan Termisi & Co pada 23 Jun tahun ini,
Elegant Advisory menyatakan ia terbabit dalam pembekalan peralatan pilihan raya, perkhidmatan pengangkutan dan penerbitan, telah membekalkan peralatan itu kepada Umno bagi pilihan raya umum ke-11 pada 2004 atas permintaan Abdul Azim.

Syarikat itu juga menyatakan oleh kerana Abdul Azim meminta bagi pembekalan dalam kuantiti besar dan dalam tempoh singkat, menyebabkan syarikat itu terpaksa melantik tiga pihak (syarikat percetakan dan syarikat pembekal lain) untuk membekalkan peralatan itu tepat pada masanya dan Abdul Azim mengetahui perkara itu.

Syarikat itu telah menghantar invois bagi jumlah RM218,013,475 kepada Abdul Azim bagi bayaran dan pada 22 Mei 2004, surat dihantar kepada defendan tetapi masih gagal mendapatkan bayaran.

Dalam pernyataan tuntutan, Elegant Advisory menamakan Abdul Azim sebagai defendan kerana beliau ialah bendahari Umno dan pegawai parti itu yang berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Di samping RM218 juta itu, syarikat itu juga memohon faedah lapan peratus setahun dari tarikh writ saman itu difailkan sehingga kes itu selesai di mahkamah.

Abdul Azim, dalam permohonannya untuk mengenepikan penghakiman itu, berkata saman tidak diserahkan kepada beliau dan menurutnya writ saman itu dan pernyataan tuntutan difailkan tanpa mematuhi Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan di mana plaintif sepatutnya menamakan pegawai yang dilantik dan bukannya bendahari Umno.

Dalam afidavit sokongan, Abdul Azim mendakwa yang beliau tidak tahu ataupun ada diserahkan penghakiman ingkar yang diperoleh syarikat itu dan menurutnya Umno bukan pihak yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-11 tetapi Barisan Nasional.

Katanya apa juga tuntutan dibuat syarikat itu seperti dinyatakan dalam writ saman itu telah diselesaikan di luar mahkamah dan syarikat itu tidak boleh membuat tuntutan lanjutan.

Abdul Azim juga menegaskan tidak wujud kontrak antara syarikat itu dengan Umno kerana tiada tempahan pembelian dikeluarkan. BERNAMA

Tiada ulasan: