Selasa, 12 Ogos 2008

Pengarah didakwa ditampar pegawai BPR
MALAYSIA KINI


Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar yang dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu semalam, hari ini membuat laporan polis mendakwa beliau ditampar oleh pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) semasa ditahan reman.

Beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 10.30 pagi.

Dalam laporannya, Abdullah, 56, yang ditahan reman oleh BPR pada 4 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek kerajaan persekutuan di Kelantan, mendakwa ditampar di kedua-dua belah pipinya oleh seorang dari pegawai BPR ketika sesi soal siasat.

Menurut laporan Bernama, Abdullah mendakwa tamparan itu menyebabkan beliau pening dan telinganya berdengung.

Beliau juga mendakwa sepanjang tujuh hari ditahan reman, pegawai BPR juga tidak membawanya untuk membuat pemeriksaan kesihatan walaupun telah memaklumkan beliau menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Abdullah berkata, beliau telah ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan pemeriksaan telinga dan diberi ubat.

Semalam, Majistret Raja Norshuzianashakila Raja Mamat membenarkan Abdullah diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan: