Sabtu, 23 Ogos 2008

Pengalaman Anwar sangat berharga untuk perintah Malaysia – Mahfuz
Wan Nordin Wan Yaacob


PERMATANG PAUH - Pengalaman Dato'Seri Anwar Ibrahim yang pernah mentadbir negara sebelum ini amat berharga untuk memerintah selepas Pakatan Rakyat dalam mengambil alih pentadbiran negara.

Demikian Kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dalam satu ceramahnya di Permatang Pauh semalam.Turut serta dalam ceramah sempena kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh itu ialah, Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Pengarah Strategi Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution.

Bercakap lanjut kepada para pengundi, Mahfuz melahirkan rasa kesal kepada kempen berupa fitnah yang dilemparkan kepada anwar malah kempen serupa itu memalukan rakyat.

Kempen ini sekaligus katanya cuba menidakkan kebolehan Anwar yang menjadi kerisauan kepada jentera Umno-BN yang sudah tiada modal untuk berkempen.

Kempen sedemikian rupa ujarnya hanya untuk menjatuhkan anwar tatkala isu kelemahan perdana menteri membelengu kerajaan.

Isu fitnah Saiful Bukhari Azlan yang mengaku diliwat Anwar dimainkan malah ianya menjadi isu utama kepada BN untuk berkempen walhal ianya semata-mata fitnah, katanya.

Kempen dengan menggunakan isu liwat ini katanya hanya mencemar nama negara malah memberi kesan berat kepada maruah negara sedangkan ia semata-mata fitnah yang direka bagi menjatuhkan Anwar, katanya.

Sementara itu Saifuddin pula menyatakan bahawa isu perkauman dan liwat sering dimainkan oleh jentera kempen BN.

BN menyatakan seolah-olah Pakatan Rakyat tidak berjiwa Melayu dengan berbaik-baik dengan kaum Cina dan India sedangkan Umno-BN adalah parti yang merosakkan perpaduan di negara ini dengan memainkan isu perkauman, katanya.

Saifuddin turut mendedahkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kini sedang menjalani pembedahan kerana masalah jantung, dan beliau menganggap ia satu pembalasan kepada orang yang menganiaya Anwar.

"Polis boleh tahan Anwar, Najib Tun Razak boleh serang Anwar, Abdullah Ahmad Badawi boleh serang Anwar, tetapi saya percaya rakyat dan pengundi di Permatang Pauh ada kuasa untuk mengubah semuanya untuk mengundi Anwar bagi satu perubahan," katanya.

Di akhir ceramah, para penonton diminta untuk melaungkan kata-kata keramat merdeka beberapa kali. _

Tiada ulasan: