Selasa, 12 Ogos 2008

Pekerja asing dakwa dijadikan hamba
malaysiakini

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menerima sekurang-kurangnya dua aduan berhubung masalah yang dihadapi pekerja asing di negara ini, termasuk dakwaan dijadikan hamba.

"Sekurang-kurangnya dua kes berkaitan hak asasi pekerja diterima (oleh Suhakam) setiap hari.

"Isu mengenai hak asasi pekerja itu perlu diatasi segera," kata pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam, lapor Bernama.

Beliau menambah, aduan yang diterima termasuklah dibuang kerja, mencuaikan hak dalam perjanjian pekerjaan, gaji dan aduan mengenai mereka dijadikan hamba.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan membenarkan pekerja asing menubuhkan persatuan untuk membolehkan mereka menyuarakan masalah yang dihadapi dengan majikan.

Melalui cara itu, tambahnya, segala aduan dan masalah yang dihadapi mereka dapat disalur secara rasmi.

Banyak negara telah membenarkan penubuhan persatuan seumpama itu dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah, katanya selepas persidangan meja bulat bersama kesatuan-kesatuan sekerja di pejabat Suhakam hari ini.

Sementara itu, lapor agensi berira itu lagi, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G Rajasekaran berkata ia menerima 1,200 aduan daripada pekerja tahun lepas membabitkan masalah majikan tidak membayar gaji.

Perbincangan sehari, antaranya, mengenai isu-isu mengenai kebebasan untuk berpersatuan, diskriminasi serta hak asasi pekerja melibatkan wakil-wakil Cuepacs, MTUC, Majlis Peguam, Tenaganita, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Persekutuan Majikan Malaysia.

Tiada ulasan: