Rabu, 6 Ogos 2008

Peguamcara Negara kendali kes Anwar, bukannya Gani

KOTA TINGGI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengesahkan Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah terbabit selaras dengan keputusan supaya Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak terlibat dengan pengendalian kes liwat itu.

"Oleh kerana Peguam Negara dan Ketua Polis Negara sebagai individu, telah ada laporan rasuah ke atas mereka. Untuk menentukan penyiasatan tidak dipandang serong, Peguam Negara secara peribadi tidak mengendalikan kes ini.

"Orang nombor dua (di dalam Jabatan Peguam Negara) adalah Peguamcara Negara. Jadi dialah yang akan mengendalikannya," kata Syed Hamid selepas merasmikan majlis anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Felda Aping Barat, hari ini.

Katanya, bagi pihak polis pula, penyiasatan kes liwat Anwar dikendalikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin.

Khamis lepas, Syed Hamid berkata, siasatan kes liwat Anwar telah siap sepenuhnya dan kertas siasatannya telah pun diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, kerajaan mengambil pendekatan yang amat teliti di dalam mengendalikan kes liwat tersebut, bagi memastikan ia tidak dipandang sinis atau mempunyai unsur-unsur membalas dendam.

Pada 28 Jun lepas, bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis dengan mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara dua hari sebelum laporan polis itu dibuat.

Syed Hamid juga berkata, beliau percaya Anwar akan menggunakan pilihan raya kecil Permatang Pauh sebagai medan terbuka untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan liwat yang sedang dihadapinya.
Penasihat PKR itu menurutnya, akan menjadikan media dan masyarakat sebagai mahkamah yang akan menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak.

"Dia (Anwar) bukannya mahu mencari penyelesaian dengan cara undang-undang, sebaliknya dia hanya mencari persepsi politik seolah-olah dia adalah orang yang teraniaya. Sedangkan kita terlupa orang yang ada stigma dan menjadi mangsa dalam perkara (kes) ini," katanya.

Anwar katanya, memang mahu kes liwat beliau itu dibicarakan oleh "mahkamah media atau persepsi masyarakat" kerana kadangkala laporan-laporan berita yang dikeluarkan itu mengelirukan dan tidak menepati proses yang diperlukan.

Pihak kerajaan menurut beliau, sebenarnya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan tentang kes liwat Anwar itu, tetapi terpaksa bercakap selepas kes tersebut dipolitikkan untuk mengelak rakyat daripada terkeliru berikutan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pihak tertentu.

"Adalah susah untuk Polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menjawab (kenyataan-kenyataan tentang kes itu) kerana ada butiran dan maklumat yang tidak boleh dikeluarkan," katanya.

Syed Hamid berkata, medan terbaik untuk membela diri daripada pertuduhan adalah di mahkamah. BERNAMA

Tiada ulasan: