Sabtu, 16 Ogos 2008

PAS perlu perkasa hubungan dengan KeADILan – Perwakilan
Harakahdaily


IPOH - PAS perlu perkasakan lagi Pakatan Rakyat sebagai usaha untuk memantapkan lagi hubungan yang sudah terjalin erat sekarang.

Perwakilan PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar berkata, PAS perlu menggunakan pendekatan dakwah dalam hubungan dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan bukan mudah cepat menghukum.

"Ini kerana pendekatan dakwah lebih lembut berbanding pendekatan hukum dan politik. Menggunakan pendekatan dakwah lebih dekat dengan kaedah psikologi.

"Ini kerana pendekatan hukum orang akan takut dan tidak mahu mendekati PAS. Kita jangan mudah bercakap itu tak boleh, ini tak boleh," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada muktamar ke-54 yang masuk hari kedua hari ini.

Muktamar hari ini bermula jam 8.40 pagi tadi yang dikendalikan Timbalan Pengerusi Tetap, Hussin Ismail.

Hamzah berkata, beliau lebih yakin menggunakan pendekatan dakwah kerana ia lebih bersifat harmonis.

Kata beliau hubungan dengan KeADILan dalam Pakatan Rakyat seumpama masalah rumah tangga suami isteri yang memerlukan semangat kasih sayang di antara satu sama lain.

"Si suami hendaklah selalu bercakap kepada isteri I love you. Perwakilan sebagai suami apabila balik hendaklah beritahu I love you kepada isterinya.

"Ini tentunya menyebabkan orang perempuan cukup suka. Begitu jugalah dengan hubungan dengan KeADILan dalam Pakatan Rakyat," ujarnya.

Beliau berkata, sebelum ini kelihatan suasana sedikit kelam kabut kerana pemimpin lambat membuat keputusan dengan membiarkan isu yang berlaku itu berterusan.

Menurutnya juga dalam hubungan dengan KeADILan perlu ada siapa sebenarnya yang menjadi ketua seperti mana yang ditetapkan agama Islam.

Beliau juga berharap pemimpin tidak perlu bercakap isu tertentu hanya sebagai pandangan peribadi semata-mata kerana boleh menggelirukan ahli di peringkat bawahan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan berkata, asas politik perpaduan perlu bagi membentuk perpaduan dengan semua pihak.

"Ini boleh dilakukan dengan gerak kerja kemasyarakatan. Kita perlu mencari kawan dalam musuh dan perlu kepada muqabalah dengan semua pihak dan bukan kumpulan tertentu sahaja," katanya. - mj_

Tiada ulasan: