Isnin, 18 Ogos 2008

Nik Aziz beri ' Kekuatan ' pada Anwar
Oleh: Hafiz Mohd Baqi


BUKIT MARTAJAM: Kehadiran -pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengiringi Ketua Umum Parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh 16 Ogos, hampir menyelesaikan konflik PAS-PKR berkaitan pilihan raya kecil yang menjadi kebimbangan ramai.

Kehadiran Nik Aziz bersama Naib Presiden PAS, Husam Musa dan Mohammad Sabu, serta sekurang-kurangnya enam Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, iaitu Dr Hatta Ramli. Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Syed Azman Syed Nawawi, Dr Lo'lo Ghazali, Dr Mariah Mahmood dan Mujahid Yusuf ketika PAS dalam waktu yang sama sedang bermuktamar di Ipoh telah dilihat sebagai satu langkah paling berkesan untuk menyelesaikan isu memboikot kempen pilihan raya oleh sebahagian ahli PAS di Pulau Pinang mempengaruhi ahli-ahli yang lain.

Kehadiran ramai pimpinan PAS untuk memberi sokongan moral kepada Anwar itu begitu menarik perhatian bila mana mereka meninggalkan sebentar muktamar PAS yang penting dihadiri oleh semua pimpinan kerana selain ekoran tercetusnya kontraversi dalam PAS baru-baru ini, muktamar ke 54 ini juga merupakan muktamar para ahli PAS
mempersoalkan secara terbuka hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Justeru kehadiran para pimpinan PAS itu dilihat mampu memberi suntikan semangat kepada ahli PAS untuk turun membantu Anwar dalam pilihan raya tanpa dibayangi oleh isu sama ada melibatkan hubungan PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat maupun isu yang sedang dihadapi oleh Anwar sendiri melibatkan tuduhan liwat.

Walaupun Permatang Pauh merupakan kubu kuat Anwar sejak sekian lama dimana beliau dan Isterinya, Dr Wan Azizah Ismail memenangi kerusi parlimen di situ selama tujuh penggal, penglibatan ahli dan jentera PAS tetap dilihat penting untuk memastikan BN berputih mata sekali lagi.

Pimpinan tertinggi DAP iaitu Lim Kit Siang, Lim Guang Eng dan Karpal Singh turut hadir mengiringi Anwar.

Hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh telah ditetapkan oleh suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 16 Ogos iaitu hari kedua muktamar PAS yang bermula pada 15 Ogos. Manakala muktamar Pemuda, Muslimat dan Ulama dibuat sehari lebih awal.

Nik Aziz yang sampai di pusat penamaan calon selepas Anwar memasuki dewan untuk proses pencalonan telah mengambil masa hampir satu jam di situ bersama pimpinan lain di ruang VIP yang disediakan.

Ketibaan beliau dengan kereta Proton Wira berwarna biru yang terpaksa melepasi kumpulan penyokong yang berkumpul dilaluan untuk memasuki
pusat penamaan calon telah disambut dengan laungan takbir serta laungan reformasi.

Bahkan kereta dinaiki beliau telah diserbu oleh para penyokong yang mahu mendekati beliau sehingga terpaksa disuraikan oleh anggota polis.

Manakala kehadiran Mohammad Sabu yang tidak memasuki ruang VIP sebaliknya berada bersama para penyokong di padang yang dikhaskan turut mendapat sambutan luar biasa.

Bagaimanapun Nik Aziz dan Mohammad pulang lebih awal sebelum proses penamaan calon berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari.

Tiada ulasan: