Isnin, 18 Ogos 2008

Nasharuddin: PAS juga ditawar jawatan peringkat pusat
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


IPOH: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendedahkan bahawa PAS pernah ditawar jawatan dalam kerajaan hingga peringkat kerajaan Pusat.

"Ya, PAS menerima tawaran untuk menubuhkan kerajaan bersama di Perak dan Selangor malah tawaran jawatan di kementerian," katanya kepada media selepas penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-54 di stadium Indera Mulia di sini .

Namun katanya PAS telah menolak tawaran itu sejak pertemuan pertama beliau dan dua lagi wakil PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bersma Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Nasharuddin berkata soal pangkat dan jawatan bukan menjadi isu pertemuan beliau dan Abdullah itu.

"Soal pangkat tidak timbul kerana pertemuan itu bukan khusus kepada individu tetapi pada peringkat parti. Saya hanya mewakili parti, lagipun pada pertemuan pertama kami terus menolak tawaran itu," katanya.

Mengulas mengenai perjalanan perbahasan oleh para perwakilan yang kebanyakannya menyentuh mengenai isu muzakarah PAS-Umno, beliau berkata perkara itu telah dijangkakan sejak awal lagi.

"Reaksi ini telah dijangka, malah saya jangkakan lebih lagi. Namun kita lihat ia dibangkitkan atas dasar sangsi kononya PAS ingin menyertai Barisan Nasional (BN) dan yang keduanya ialah kerana tamak kepada pangkat dan jawatan," katanya.

Bagaimanapun katanya perkara tersebut tiada dalam agenda pertemuan PAS dan Umno namun beliau berpuas hati kerana demokrasi dalam PAS membolehkan ahli untuk bebas bersuara dan bertanya kepada pemimpin tertinggi mengenai sebarang kesangsian.

Bagi beliau, isu ini telah selesai kerana Presiden dan semua pimpinan tertinggi telah memberi penjelasan yang jelas kepada semua perwakilan dan pemerhati yang hadir pada muktamar kali ini.

"Inilah objektif muktamar yang kita adakan. Selepas ini kita turun ke peringkat bawahan untuk menjelaskan kepada ahli mengenai Ucapan Dasar Presiden agar lebih difahami," katanya.

Nasharuddin berkata selepas pertemuan pertama itu beliau ada mengadakan dua lagi pertemuan dengan Abdullah di Parlimen.

"Pertemuan kedua adalah di Parlimen. Masa saya sedang minum, saya menerima pesanan bahawa Perdana Menteri ingin bertemu saya.

"Kemudian saya maklumkan perkara itu kepada Presiden dan beliau izinkannya. Namun pertemuan itu adalah pertemuan biasa tanpa sebarang tawaran," katanya.

Tiada ulasan: