Khamis, 7 Ogos 2008

Najib ketuai jentera BN di Permatang Pauh
Oleh: Muhd.Nizam Abd.Rahman dan Arshad Khan

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini untuk memastikan calon parti itu daripada UMNO memenangi kerusi tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sama seperti pilihan raya kecil sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN yang kini dipegang oleh Najib akan mengetuai jentera pilihan raya BN.

''Insya-Allah saya juga akan turut serta dalam kempen di Permatang Pauh dan semua orang akan membantu jentera BN," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurutnya, BN yakin dapat memenangi kerusi tersebut walaupun berhadapan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan calon pilihan untuk memenangi kerusi tersebut.

Abdullah berkata, buat masa ini calon BN untuk kerusi itu belum ditentukan lagi kerana BN mahu mendapatkan pandangan daripada UMNO Bahagian Permatang Pauh terlebih dahulu mengenai calon yang akan dipilih.

''BN akan meletakkan seorang calon di Permatang Pauh, namanya belum ditentukan lagi dan kita akan bincang dengan UMNO Bahagian Permatang Pauh kerana ini adalah kerusi untuk calon daripada UMNO," katanya.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh akan diadakan pada 26 Ogos ini selepas penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi berkenaan bagi membolehkan suaminya bertanding di Permatang Pauh.

Anwar tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu kerana masih dalam tempoh larangan ekoran disabitkan dengan kesalahan rasuah sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdullah menolak dakwaan pihak tertentu kemungkinan BN tidak akan menyertai pilihan raya kecil tersebut dan perkara itu tidak akan berlaku dalam sejarah BN.

''Saya tidak mendengar orang UMNO mahu pulau (pilihan raya kecil) atau orang BN mahu pulau. Tidak pernah berlaku dalam sejarah kita tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil," katanya.

Menurutnya, BN akan bertanding dalam semua pilihan raya kecil yang perlu diadakan termasuk di Permatang Pauh kerana parti itu mahu mengisi kekosongan dan mewakili kawasan Parlimen tersebut.

Ditanya tentang keputusan UMNO Bahagian Permatang Pauh yang mahukan ketuanya, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dicalonkan untuk pilihan raya berkenaan, Abdullah berkata, beliau tidak mendengar pula tentang perkara berkenaan atau menerima surat berhubung isu itu.

Menurutnya, BN akan mengenal pasti calon yang layak untuk bertanding di kawasan tersebut dan antara kriterianya ialah mereka yang boleh berkhidmat dan mendapat kepercayaan daripada pengundi.

Perdana Menteri juga menjangka kemungkinan berlaku ketegangan ketika kempen pilihan raya itu sekiranya pihak terlibat tidak menjaga ketertiban ketika berkempen dan membuat pelbagai tuduhan tidak berasas.

''Kempen mesti berhemah dan kita harap tidak ada kejadian yang boleh membawa kepada pergaduhan... tidak sepatutnya ada kejadian seperti itu dan kita harap ia tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Jawatankuasa Pengurusan BN telah mengesyorkan supaya jentera parti digerakkan sepenuhnya dan pucuk pimpinan BN telah menerima komitmen daripada ketua-ketua parti komponen bahawa mereka juga komited membantu calon BN.

''Kita akan berusaha menjalankan kempen sebaik mungkin dan menawarkan calon terbaik yang akan diputuskan oleh Pengerusi BN serta menggerakkan kaedah yang sesuai dengan keadaan setempat dan semasa," ujar beliau.

Tiada ulasan: