Khamis, 7 Ogos 2008

(Mutakhir)

Anwar mengaku tidak bersalah, bebas dengan bon peribadi
Oleh AFFIFUDDIN ISHAK dan NURUL AIN HUSSEIN

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada Jun lepas.

Anwar, 60, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara di sini.

Hakim S.M. Komathi Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin.

Hakim menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes itu di mahkamah yang sama.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Penashat Parti Keadilan Rakyat itu dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohamad Saiful, 23 tahun.

Selepas jurubahasa Mahkamah Sesyen membacakan pertuduhan terhadapnya dan bertanya sama ada beliau (Anwar) mengaku bersalah atau tidak, Anwar berkata:

"Itu jahat dan khianat. Saya tidak bersalah."

Pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun manakala pihak pembelaan yang dibarisi sembilan peguam diketuai Sulaiman Abdullah.

Barisan peguam Anwar terdiri daripada Sivarasa Rasiah, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah, Edmund Bon dan Leela J. Jesuthasan.

Sementara itu, peguam Anwar, Sankara Nair yang ditemui di luar mahkamah berkata, Anwar punya alibi yang kukuh pada hari kejadian (26 Jun) pada jam 3 petang bagi menyangkal dakwaan liwat oleh pembantunya, Saiful.

"Kami barisan peguambela Anwar bersetuju dengan hakim, dan kami telah meminta mahkamah tidak menahan pasport beliau kerana Anwar telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada polis," kata Sankara.

Beliau berkata berkenaan pembebasan anak guamnya, mahkamah telah memutuskan satu tindakan yang adil dengan membebaskan Anwar tanpa perlu membayar sebarang wang ikat jamin.

Sankara merupakan salah seorang daripada sembilan peguam bela penasihat PKR itu, berkata Hakim S.M.Komathy Suppiah telah menggunakan budi bicara secara adil dan tanpa gentar dengan membenarkan Anwar dibebaskan dengan ikat jamin.

Dalam pada itu, Anwar memberi kenyataan kepada media bahawa beliau gembira dibebaskan dan menegaskan pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau adalah pertuduhan jahat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya gembira untuk dibebaskan dan ingin saya tegaskan pendakwaan ke atas saya hari ini berniat jahat dan dirancang oleh Abdullah," ujar Anwar.

Laungan "reformasi" bergema sebaik sahaja Anwar memberikan kenyataannya.

Kes itu akan disebut semula pada 10 September dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Anwar meninggalkan perkarangan mahkamah pada pukul 11.35 pagi sementara di luar mahkamah, kira-kira 2,000 penyokong Anwar mula bersorak dengan laungan "reformasi".

Terdahulu, Anwar tiba di mahkamah Jalan Duta pukul 9.42 pagi tadi.

Dalam pada itu tinjauan mStar Online pada 7.30 pagi mendapati unit polis trafik mengawal lalu lintas sejak pagi tadi di sekitar jalan menuju ke mahkamah.

Sementara itu di hadapan masuk, pasukan FRU mula mengambil tempat berkawal di perkarangan mahkamah. Para wartawan sudah berkumpul di luar mahkamah.

Anwar diwakili pasukan sembilan peguam termasuk R. Sivarasa, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli dan Sulaiman Abdullah.

Anwar dijangka didakwa di bawah Seksyen 377A ataupun Seksyen 377C Kanun Keseksaan, berkaitan dengan perbuatan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 377A, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dirotan manakala Seksyen 377C pula membawa hukuman tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman dirotan.

Seksyen 377A dan 377C tidak membenarkan jamin diberikan. Bagaimanapun di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah boleh membenarkan jamin.

Semalam, di satu sidang akhbar dengan ditemani ahli keluarga termasuk isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin PKR dan pasukan peguamnya, Anwar memberitahu, beliau menerima sapina daripada polis kira-kira sejam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, beliau tetap akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut walaupun ditahan dalam lokap sementara menanti perbicaraan kelak

Tiada ulasan: