Sabtu, 16 Ogos 2008

(Mutakhir)

3 parti sah tanding, ribuan penyokong 'banjiri' pusat penamaan calon
Oleh G. MANIMARAN


PERMATANG PAUH: Penamaan calon kerusi Parlimen Permatang Pauh diadakan pagi ini dengan ribuan penyokong parti-parti politik yang bertanding sudah mula berkumpul di kawasan Mengkuang, Bukit Mertajam - lokasi penamaan calon - sejak 6 pagi tadi.

Proses penamaan calon bermula pukul 9 pagi. Ia akan berakhir sepenuhnya dalam tempoh tiga jam.

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat serta Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) sehingga 7 pagi tadi telah mengesahkan untuk bertarung dalam pilihan raya kecil ini.

BN diwakili oleh calon Umno, Datuk Seri Arif Shah Omar Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Seberang Jaya manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anwar merupakan Ahli Parlimen kawasan itu dari 1982 hingga 1999.

Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) akan diwakili oleh Presidennya sendiri, Hanafi Hamad.

Ketika dihubungi 7 pagi tadi, Hanafi berkata: "Hanafi Hamad akan tanding wakili AKIM."

"Borang akan serahkan pukul 9 pagi ini. Saya yakin penduduk Permatang Pauh akan menyokong AKIM.

"Malaysia sudah maju, bagus.... tapi ada banyak isu yang perlu ditangani. AKIM mahu bertanding dengan matlamat itu," kata beliau.

mStar Online difahamkan kemungkinan akan ada calon Bebas.

Jika ada pertandingan pengundian akan diadakan 26 Ogos ini.

Penamaan calon diadakan di Institut Perguruan Tuanku Bainun, Mengkuang, Bukit Mertajam dengan kawalan ketat polis.

Polis Diraja Malaysia juga mengadakan rondaan udara menggunakan helikopter dan pasukan Unit Simpanan Persekutuan.

Kawasan dan laluan menuju ke Institut Perguruan Tuanku Bainun dikawal ketat bagi membolehkan proses penamaan calon berjalan dengan lancar.

Penyokong-penyokong parti utama bertanding - BN dan Pakatan Rakyat - dinasihatkan menggunakan laluan bertentangan menuju ke pusat penamaan calon sebelum mereka berhimpun di padang utama Institut Perguruan Tuanku Bainun.

Sehingga 8.40 pagi tadi, lebih 10,000 penyokong kedua-dua parti itu sudah berkumpul di kawasan padang.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga pukul 8.30 pagi tadi keadaan adalah terkawal dan calon akan memasuki dewan Aminuddin Baki - pusat penamaan calon mulai 9 pagi.

Difahamkan calon BN akan memasuki dewan untuk menyerahkan borang dan diikuti dengan calon Pakatan Rakyat.

"Kita akan melayan calon pada asas siapa datang dulu," katanya.

Kata beliau, pihaknya telah memilih lokasi yang lebih besar dan sesuai - Institut Perguruan Tuanku Bainun - dengan mengambil kira begitu ramai akan hadir kali ini.

"Kami berharap calon akan datang awal kerana waktu menyerahkan borang penamaan calon sejam sahaja, dari pukul 9 hingga 10 pagi.

"Dan, kali pertama kami menyediakan tiga penolong pengurus pilihan raya bagi memastikan proses perjalanan adalah lancar," kata beliau ketika dihubungi malam tadi.

Hampir 20,000 orang dipercayai akan hadir pada hari penamaan calon.

Tiada ulasan: