Khamis, 14 Ogos 2008

Mirza perlu berundur - Ketua Setiausaha Negara.

PUTRAJAYA - Datuk Mohammad Mirza Taiyab perlu mengundur diri daripada menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia berikutan tuduhan rasuah yang dihadapinya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, arahan berhubung perkara itu perlu dikeluarkan oleh pihak lembaga yang dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

''Beliau tidak boleh menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah kerana sudah didakwa di mahkamah, jadi beliau perlu mengundur diri.

''Tetapi perkara ini bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana sebagai sebuah badan berkanun, pihak lembaga perlu membuat keputusan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Sidek berkata, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia yang turut berada di bawah penyeliaannya perlu mencari calon baru menggantikan Mohammad Mirza.

Mohammad Mirza hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta atas tuduhan menerima rasuah berbentuk rawatan pergigian berjumlah RM13,860 daripada seorang pengarah syarikat pengiklanan pada tahun 2005.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Tiada ulasan: