Khamis, 21 Ogos 2008

Khir Toyo ahli politik berfikiran sempit
Saidah Hairan


SHAH ALAM- Dakwaan Ahli Dun Sungai Panjang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyifatkan maksud Kemerdekaan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terpesong membuktikan bahawa Khir seorang ahli politik yang berfikiran sempit.

Menurut Setiausaha Politik MB, Nik Nazmi Nik Ahmad, merdeka yang dimaksudkan Menteri Besar Selangor bukan hanya merujuk kebebasan daripada terus dibelenggu penjajah.

Sebaliknya kata beliau, kemerdekaan merangkumi perpekstif hak-hak asasi manusia termasuk kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.

Sebelum ini Khalid melahirkan rasa bangga kerana berjaya `memerdekakan' Selangor daripada pemerintahan Umno-BN.

Bagaimanapun, maksud sebenar kemerdekaan itu telah dibidas oleh Khir Toyo yang juga Ketua Pembangkang Selangor.

Mengulas dakwaan Khir, Nazmi berkata, setelah 50 tahun Malaysia merdeka Umno sebagai parti yang menerajui BN masih mengguna pakai undang- undang lapuk seperti Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi yang telah diperkenalkan oleh penjajah.

"Undang-undang ini jelas mengongkong hak-hak asasi rakyat Malaysia," tegasnya dalam sidang media di bangunan SUK, di sini.

Lebih dikesalkan lagi tambah beliau, pihak BN telah menggunakan akta lapuk itu bagi tujuan kepentingan politik mereka dan sekaligus mengabaikan kebajikan rakyat Malaysia.

Menurut beliau jika dilihat daripada konteks itu tiada beza antara BN dengan pihak penjajah.

"Saya menyeru supaya Khir membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan terhadap kenyataan MB Selangor," katanya.

Beliau berkata, konsep Kemerdekaan sebenar untuk rakyat Selangor merupakan pilihan kerajaan Pakatan Rakyat seiring dengan polisi kerajaan negeri untuk `Merakyatkan Ekonomi Selangor'._SH

Tiada ulasan: