Sabtu, 30 Ogos 2008

Kes ambil tanah, MB Perak digesa campurtangan
Ekmal Yusof


KUALA KANGSAR - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin diminta campur tangan dalam kes pengambilan sepuluh ekar tanah rezab Melayu di Kampung Sayong Hulu dekat sini oleh Pejabat Tanah dan Daerah untuk didirikan sebuah Bangunan Wisma Persekutuan.

Dalam perjumpaan khas semalam melibatkan 22 orang pewaris di atas rancangan kerajaan untuk mendirikan Bangunan Gunasama (Wisma Persekutuan) yang terletak dekat Jambatan Sayong, mereka yang terlibat itu mohon jasa baik Menteri Besar Perak menentukan hak penilaian ekonomi terkini dan nasib mereka selepas tanah itu diambil nanti.

Harakahdaily difahamkan bahawa tindakan kerajaan untuk mengambil 10 ekar tanah rezab Melayu dilakukan setahun lalu semasa kerajaan negeri Perak dalam gengaman umno-BN.

Dalam perjumpaan semalam juga, Pengerusi bertindak pengambilan tanah tersebut, Fuad Abdullah menyatakan tuan tanah berkenaan telah dipanggil untuk notis siasat di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar pada 18 Ogos lalu untuk membincangkan beberapa perkara termasuk mengenai nilai pampasan mengikut kadar harga tanah semasa.

"Kalau sudah kami tiada diberi pilihan lain iaitu hanya mengikut perintah sahaja, tetapi kami bersetuju 'terima dengan bantahan'. Pertama harap mendapat pampasan yang sewajarnya masa kini termasuk dengan nilai harta di atasnya seperti pokok-pokok buah-buahan dan rumah,"jelasnya kepada Harakahdaily semalam.

Selain itu katanya, Menteri Besar diminta supaya menyediakan kawasan tanah perkampungan lain untuk membina rumah tempat tinggal mereka seterusnya.

"Kalau tidak di mana lagi kami hendak duduk, takkan nak tinggal di bawah Jambatan Sayong tebing Sungai Perak itu,"rungutnya.

"Kalau boleh, kami minta Menteri Besar datanglah sendiri dan melihat keadaan kami sekarang. Kalau tanah itu hendak diambil segera di mana pula kami hendak menghadapi bulan puasa dan seterusnya hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," keluhnya lagi.

Sementara itu, warga emas Hamsiah Alang Mat Yusof, 80, merayu agar sebelum hendak diambil tanahnya kerajaan haruslah gantikan tanah lain kerana sekarang pun beliau duduk menumpang tanah orang. - mks. _

Tiada ulasan: