Rabu, 27 Ogos 2008

Kemenangan Anwar bukti rakyat matang, fikir masa depan negara
Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Para petugas Pakatan Rakyat antara golongan yang paling gembira apabila Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim diistiharkan sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Segala usaha mereka dirasakan berbaloi berhadapan dengan rakyat yang kian matang berfikir demi masa depan negara dan agama.

Mohd Zubir Musa, 35, daripada Sungai Kechil, Nibung Tebal berkata, jentera Barisan Nasional (BN) pasti terasa hilang taring selepas ini kerana apa yang mereka taburkan tidak dipedulikan.

"Penduduk tempatan mahukan janji yang tepat bukan mainan, " ujarnya.

Petugas daripada Gombak, Selangor,Nor Aizah Husain, 50, berkata, jalinan kerjasama yang erat merupakan kunci kejayaan segala-galanya.

Ia juga sambungnya, umpama percikan bunga api yang menandakan kesepaduan jitu semua antara KeADILan, PAS dan DAP makin memuncak dan boleh membawa perubahan ketara terhadap negara. Sementara itu Ketua Bahagian KeADILan Bentong, Pahang, Ram Ponusamy pula berkata, Malaysia baru yang dirancangkan oleh Anwar akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Malaysia yang diimpikan oleh rakyat yang cintakan kesejahteraan jauh daripada rasuah dan penyelewengan.

"Sebenarnya rakyat telah bosan dengan penyelewengan dan berharap Anwar dapat lakukan perubahan untuk menyelamatkan Malaysia daripada bangkrap, " terangnya. - mks._

Tiada ulasan: