Rabu, 13 Ogos 2008

Keahlian KeADILan Gerik naik 900 peratus
Mohd Syamil Azhar

GERIK- Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) Bahagian Gerik kini mempunyai 1,832 ahli berdaftar berbanding hanya 50 orang sahaja sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu dengan kenaikan mendadak melebihi 900 peratus dalam masa lima bulan.

Ketua Bahagiannya, Sulaiman Japar berkata, kemasukan ahli secara beramai-ramai dalam masa singkat itu memberi harapan besar kepada Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi Parlimen Gerik yang dikuasai Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, usaha menambah lebih ramai lagi ahli akan diteruskan, sekurang-kurangnya berjaya mencapai sasaran 2,500 keahlian bagi setiap bahagian sepertimana diarahkan Majlis Pusat Tertinggi (MPT) KeADILan sebelum September 2009.

"Sasaran yang ditetapkan MPT itu boleh kita capai sebelum September tahun depan memandangkan rakyat sendiri datang berjumpa kita memohon borang menjadi ahli.

"Jadi bagi memudahkan kemasukan ahli, kita telah memulakan proses pendaftaran secara online," katanya kepada Harakahdaily.

Sulaiman berkata, untuk kemudahan orang ramai berurusan dengan Pakatan Rakyat, khususnya KeADILan sendiri, pejabat bersama dengan PAS dan DAP telah dibuka di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Pakatan Rakyat, No 10, Tingkat Atas, Bangunan Stesyen Bas Gerik.

Katanya, pelbagai urusan rakyat yang tinggal di Gerik dan sekitarnya atau dalam kawasan Majlis Daerah Gerik tanpa mengira fahaman politik, boleh datang ke pejabat berkenaan untuk diambil tindakan segera.

Sementara itu beliau yang juga Ahli Jawatankuasa KeADILan Perhubungan Negeri Perak, berkata semua Jawatankuasa KeADILan Bahagian Gerik ditugaskan menggerakkan Jentera Daerah mengundi (JDM) di Kampung Pertama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya bagi memastikan kemenangan calon KeADILan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos nanti.

Katanya, KeADILan Bahagian Gerik akan berkampung di Kampung Pertama bermula sehari sebelum hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya itu nanti. - mks._

Tiada ulasan: