Jumaat, 15 Ogos 2008

Kali ini lebih mencabar, tidak semudah diduga - Peguam Anwar
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: "OH, tidak lagi." Ini antara reaksi awal peguam-peguam pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila diminta datang ke sebuah hotel di Shah Alam pada malam 28 Jun lalu untuk membincangkan satu aduan polis yang dibuat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu oleh bekas pembantu peribadinya.

Ketika itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengadakan pertemuan retreat bagi membincangkan perkembangan selepas pilihan raya umum ke-12.

Reaksi itu bukan menandakan tentang susah senang jika perlu berhadapan dengan kes terbaru jika perlu.

Sebaliknya anggapan awal pasukan peguam itu melihat bahawa anak guam mereka - Anwar terpaksa melalui satu lagi kitaran proses perundangan seleps 10 tahun.

"Kami mula beranggapan bahawa sudah tiada akhiran (nasib anak guaman, Anwar)," kata Sankara N. Nair dalam satu pertemuan dengan mStar Online di pejabatnya hujung minggu lalu.

Sedekad lalu Anwar juga dibela oleh sepasukan sembilan orang peguam. Bilangan yang sama membela beliau kali ini, cuma anggotanya memperlihatkan sedikit kelainan.

Secara kebetulan ataupun memang angka ini sememangnya menjadi pilihan bekas Timbalan Perdana Menteri itu?

Sankara, yang menganggotai pasukan 1998 dan kali ini, menganggap ia sebagai satu kebetulan semata-mata.

Sebenarnya, jelas beliau, pada peringkat awal bilangan peguam dalam pasukan awal adalah lebih daripada sembilan orang.

"Ia mengecil dalam peredaran masa dan juga terdapat anggota baru yang menyertai kemudian," kata Sankara yang pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama enam tahun sebelum melangkah ke perkhidmatan perundangan.

Anwar, 61, dihadapkan ke mahkamah 6 Ogos lalu untuk menghadapi bentuk tuduhan yang sama. Pada Ahad lalu Anwar genap 61 tahun.

Beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen apabila pertuduhan meliwat Saiful dibacakan dan dibebaskan dengan jaminan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin. Kes itu akan disebut semula untuk sebutan pada 10 September.

Pada akhir 1998, Anwar menghadapi 10 pertuduhan yang membabitkan lima tuduhan rasuah dan lima tuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Bagi semua tuduhan rasuah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 2(1) Ordinan No.22 (Kuasa-kuasa perlu) Darurat 1970. Sementara bagi kesemua pertuduhan meliwat, Anwar didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377B.
|
Bagi tuduhan meliwat pemandu isterinya, beliau disabitkan dengan pertuduhan itu pada 2000 tetapi sabitan itu kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan empat tahun kemudian.

Kali ini pihak pembelaan dibarisi sembilan peguam dengan diketuai Sulaiman Abdullah yang bertindak sebagai peguam kanan.
Selain Sankara, peguam lain terdiri daripada R. Sivarasa, Leela Jeyamani Jesuthasan, Edmund Bon Tai Soon, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Beebi Koya dan Mohd. Radzlan Jalaluddin.

Sepuluh tahun lalu, selain Sankara, pasukan peguam Anwar diketuai oleh Raja Aziz Addruse manakala anggota lain ialah Christopher Fernando, Zainur Zakaria, Sulaiman, Gurbachan Singh, zulkifli Nordin, Pawancheek Merican dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Kemudian pasukan itu disertai oleh Karpal Singh.

Fernando telah meninggal dunia tahun lalu dan Sankara ketika ditanya mengenainya juga berkongsi kehilangan rakan sepasukannya itu.

Dua hari selepas dibebaskan atas jaminan Anwar mengakui yang beliau menerima layanan lebih baik semasa dihadapkan ke mahkamah berbanding 10 tahun lalu apabila pertama kali didakwa bagi pertuduhan meliwat.

Pendakwaan minggu lalu hanya ulangan kepada apa yang terjadi pada 1998 tetapi tidak sekeras pada ketika itu, kata Anwar pada sidang akhbar Jumaat lalu.

Mengambil kira pengalaman mengendalikan kes yang hampir sama dan semasa ditanya mengenai tahap cabaran mengendalikan kes anak guamannya kali ini, Sankara berkata:

"Sebenarnya, cabaran kali ini lebih besar berbanding cabaran dulu. Sebagai anggota pasukan saya merasakan begitu."

Kata beliau, walaupun berpengalaman mengendalikan kes yang serupa satu dekad lalu, ia bukan proses mudah yang dijangka dan diduga.

Mengambil kira kedudukan Anwar dalam arena politik, beliau juga mengakui ia bukan satu kes yang biasa untuk dikendalikan.

"Anwar bukan anak guaman biasa. Anwar tidak bertarung kerana kehilangan atau kerugian dalam perniagaan seperti kes-kes lain, tetapi beliau berjuang kerana hak asasi manusia, hak rakyat Malaysia."

"Oleh itu, bagi saya Anwar merupakan anak guaman yang sama sekali berbeza daripada yang lain," katanya yang turut mengendalikan beberapa kes bagi Anwar termasuk kes terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Meskipun berbekalkan corak dan bentuk kes yang sama beserta dengan pengalaman, Sankara tetap menerima hakikat kes kali ini dengan penuh serius mengambil kira masa depan politik bekas Timbalan Presiden Umno itu.

"Saya sentiasa mengambil kes ini dengan serius. Beban mengurus dan mengendalikan kes ini sentiasa berat (walaupun pernah mengendalikannya 10 tahun lalu)," kata beliau yang tetap mengharapkan keputusan positif kelak, yang memihak anak guamannya.

"Saya melakukan (membela) Anwar sebab saya merasakan ia adalah sesuatu yang sepatutnya saya lakukan... ini merupakan satu bentuk perjuangan yang perlu dihadapi sehingga ke akhir penyelesaian. Pasukan ini perlu, akan melakukannya," kata beliau sambil menambah sentiasa berbincang dengan Sulaiman selaku peguam kanan dalam memastikan pengurusan kes berjalan dengan lancar.
Sulaiman merupakan peguam yang berpengalaman dan kes-kes Syariah.

Mengenai bilangan peguam yang besar dilantik Anwar, Sankara memberitahu: "Saiz pasukan tidak penting, tidak menjadi isu. Kesemua anggota mempunyai pengalaman dan kepakaran."

"Apa yang penting ialah kami perlu melakukan tugas yang diberikan dengan penuh dedikasi, pengetahun dan secara berterusan sehingga kes selesai," katanya.

Beliau juga tidak menafikan pasukannya akan berhadapan dengan tekanan dalam menghadapi kes ini.

"Banyak kerja persiapan perlu dilakukan. Umumnya, harapan terhadap kes ini adalah sangat tinggi," kata beliau.

Memandangkan Anwar mengakui bahawa layanan di mahkamah kali ini lebih baik berbanding 10 tahun lalu, Sankara juga mengakui perkara tersebut dengan mengharapkan yang terbaik dan lebih baik kali ini.

"Kami gembira dengan (layanan pada Khamis lalu)... beliau (Hakim S.M. Komathy) memang terkenal atas pendirian (bidang kehakiman)," katanya lagi.

Bagaimanapun Sankara berpendapat perlu menerima hakikat hanya terdapat sejumlah kecil hakim terbaik, sambil menambah bahawa bidang kehakiman negara belum berada dalam keadaan yang ia boleh bertindak dengan bebas sepenuhnya khususnya selepas sejak pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dua dekad lalu.

"Bidang kehakiman masih tertakluk kepada Eksekutif. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menjanjikan pembaharuan bidang kehakiman, tetapi ia kekal retorik," katanya.

Kes klip video Lingam merupakan salah satu contoh menggambarkan bidang kehakiman negara, kata beliau yang nampknya masih was-was anak guamannya akan mendapat perbicaraan yang adil kali ini.

Pendek kata, kepakaran, pengalaman dan persepsi serta ideologi politik mewarnai pertarungan Anwar di mahkamah sejak sedekad lalu. Akan lebih menarik untuk melihat aspek ini pada bulan-bulan akan datang.

Tiada ulasan: