Rabu, 13 Ogos 2008

JKR akan pasang kerangka pengikat pada jejambat MRR2 yang retak

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang kerangka pengikat dengan cara membalut tiang penopang jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang retak bagi memperkuat strukturnya sementara siasatan selesai dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berkata, langkah sementara itu diambil bagi membolehkan lalu lintas dapat dibuka seperti biasa.

"Ini bermakna kekuatan jambatan itu tidak dipersoalkan kerana JKR sudah mengesahkan dari segi strukturnya, ia adalah kukuh," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di jejambat berkenaan.

Beliau turut mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah JKR Datuk Ir Dr Judin Abdul Karim.

Azmi berkata, kerangka pengikat tersebut akan dipasang dalam masa terdekat berkemungkinan sebelum akhir bulan, dan pada masa yang sama JKR turut menjalankan pemeriksaan berterusan terhadap tiang jejambat itu.

Ketika ditanya media berhubung kos pembaikan struktur tiang tersebut dan sama ada kontraktor terdahulu diberi tanggungjawab bagi pembaikan, Azmi menjawab "Belum tentu lagi, ia akan diputuskan setelah siasatan selesai dan ditentukan apakah kelemahan yang dikenal pasti, dan ketika ini siasatan sedang berjalan."

Azmi berkata, pihaknya mendapati pengawasan yang rapi telah dijalankan oleh kontraktor yang berwibawa dan mereka menjalankan kerja dengan baik.

"Namun demikian, kita sedang mengkaji sama ada gentian karbon yang diguna cukup kuat dari segi spesifikasi dan sama ada terdapat kemungkinan sistem yang dipakai ada kelemahan belum diketahui lagi, ini akan disiasat dan memakan masa," katanya.

Pada 3 Ogos lepas, jejambat MRR2 yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer serta jalan di bawahnya ditutup kepada semua lalu lintas berikutan terdapat keretakan pada tiangnya.

Arahan itu dikeluarkan JKR dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas beberapa pemandu melaporkan mereka ternampak batu-batu jatuh dari salah satu rusuk jejambat itu dekat stesen komuter Kepong.

Pada Ogos 2004, laluan berkenaan ditutup buat kali pertama berikutan masalah keretakan rusuk tiangnya.

Pada Februari 2006, ia sekali lagi ditutup akibat masalah yang sama, memerlukan struktur itu dibaik pulih dengan kos sebanyak RM74.6 juta.

Azmi berkata, JKR menjalankan kerja yang baik dalam mengendalikan perkara itu daripada kerja pembaikan pertama termasuk pelantikan juru perunding dan kontraktor.

"Kami juga mencadangkan kepada JKR untuk mengadakan standard prosedur operasi yang lebih menyeluruh dan ketat dan lebih kerap menjalankan pemeriksaan terutama ketika aliran trafik adalah banyak," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: