Jumaat, 22 Ogos 2008

Jawatankuasa khas pantau, bantu Exco Perumahan Selangor
Saidah Hairan


SHAH ALAM - Satu jawatankuasa khas di bawah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan ditubuhkan bagi menasihat dan membantu exco merangka perancangan bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Jawatankuasa khas itu diputuskan dalam seminar Peningkatan Kualiti Hidup Perbandaraan yang diadakan di Dewan Annex, SUK, Shah Alam, Isnin lalu.

Dengan wujudnya jawatankuasa khas itu exconya, Iskandar Ab Samad berharap perumahan yang sempurna akan dapat membantu usaha mewujudkan masyarakat yang bertaraf dunia (world class).

Menurut beliau, antara sasaran bagi memastikan kediaman sempurna cukup untuk setiap rakyat dengan menyelesaikan masalah perumahan di kalangan orang miskin seperti peneroka bandar.

Katanya, kerajaan juga mahu memastikan kediaman sempurna yang mampu dimiliki oleh rakyat tanpa menafikan mereka pada peluang pekerjaan, pendidikan, hubungan kekeluargaan dan sahabat.

"Kita juga mahu memastikan berlaku perbincangan dan dialog dua hala antara rakyat dengan kerajaan dalam menyelesaikan maslaah perumahan dan kemiskinan kota," kata nya.

Beliau yang ditemui selepas sidang media menjelaskan, jawatankuasa khas itu akan membantu dan menasihati pegawai di Pejabat Exco di samping menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat.

Katanya, ia boleh berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi kerajaan melalui pejabat Exco atau saluran rasmi yang lain bagi menangani masalah peneroka bandar, rumah panjang dan perumahan lain.

Selain itu tambah beliau, jawatankuasa khas itu membantu memberi latihan kepada kakitangan pihak PBT di samping menyiasat dan memberi nasihat serta cadangan dalam menyelesaikan masalah setinggan.

Jawatankuasa khas itu terdiri daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan aktivis masyarakat.

Antaranya, Mohamad Khairuddin Othman; Anuar Tahir; Wan Mohamad Ghazali; Mohsinon Tahir; Tan Jo Hann; Julie Wong; Roger Chan Weng Keng; Saha Deva A Arunasalam; Noralizan Ali; Parameswary Elumai dan S Aruchelvan.

Iskandar berharap penubuhan jawatankuasa itu dapat mencari penyelesaian yang benar-benar dimahukan oleh rakyat kerana kerajaan Selangor tidak mahu penyelesaian yang dibawa tidak diterima oleh rakyat.

"Itu sebab kita perlu turun berjumpa rakyat untuk mendapat maklum balas daripada mereka," tegasnya. - lanh _

Tiada ulasan: