Isnin, 4 Ogos 2008

Exco, bekas Exco dipanggil bantu siasatan kes Perdana V6

KUALA TERENGGANU: Bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Exco Terengganu merupakan antara yang dipanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu melengkapkan siasatan kes perbelanjaan penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive kerajaan Terengganu berjumlah RM1.07 juta.

Antara yang dipanggil pada Jumaat lepas ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee yang kini Anggota Parlimen Setiu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri Toh Chin Yaw dan seorang pegawai kanan kerajaan negeri.

Mohd Jidin yang dihubungi mengesahkan beliau dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat BPR di Wisma Persekutuan di sini pada Jumaat lepas selama lebih dua jam sejak pukul 9 pagi.

"Tidak ada apaapa... saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan. Buat pengesahan tentang beberapa perkara tertentu termasuk tentang pemandu, tukar alat ganti yang mana... itu sahaja," katanya.

Mohd Jidin berkata, beliau berharap maklumat yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu siasatan yang dijalankan oleh badan tersebut berhubung kes berkenaan.

Kenderaan yang digunakan oleh Mohd Jidin dengan nombor pendaftaran TT 7 mencatatkan kos penyelenggaraan sebanyak RM95,178.15 iaitu yang ketiga tertinggi selepas Toh (RM175,229.79) dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh (RM131,449.83).

Bagaimanapun kenderaan itu telah pun dibeli Mohd Jidin.

Sementara itu, Pengarah BPR Terengganu Sharuddin Sapian yang dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

Sejak siasatan kes itu dilakukan, BPR telah menahan seramai lima orang pengusaha bengkel dan telah memanggil lebih daripada 20 orang untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Kerajaan negeri Terengganu membeli sebanyak 14 kereta Mercedes E200 Kompressor yang berharga RM3.43 juta untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri atas alasan kos penyelengggaraan kenderaan nasional itu terlalu tinggi. BERNAMA

Tiada ulasan: