Khamis, 14 Ogos 2008

Elaun ahli majlis PBT Selangor naik mulai September ini

SHAH ALAM: Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor hari ini meluluskan kenaikan elaun ahli-ahli majlis daerah, perbandaran dan bandaraya di negeri ini berkuatkuasa 1 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, kerajaan negeri berpendapat kadar elaun yang dibayar sekarang mengikut kadar 1992 sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

"Tambahan pula setiap ahli majlis di PBT (pihak berkuasa tempatan) diagihkan dengan satu zon yang menjadi tanggungjawab mereka dan ini memerlukan perbelanjaan yang lebih," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu di sini.

Mesyuarat memutuskan kadar elaun ahli majlis kawasan perbandaran dan kawasan bandaraya yang kini dibayar pada kadar berbeza iaitu RM500 dan RM750 sebulan diselaraskan kepada RM750 sebulan, katanya.

Katanya, elaun ahli majlis daerah yang kini dibayar pada kadar RM300 sebulan akan dinaikkan kepada RM500 sebulan manakala elaun mesyuarat ahli majlis PBT yang kadarnya antara RM40 hingga RM100 mengikut kawasan diselaraskan kepada RM100 bagi setiap kali mesyuarat.

Beliau berkata, kenaikan itu akan melibatkan tambahan belanjawan sebanyak RM75,000 setahun bagi majlis bandaraya dan perbandaran dan RM60,000 setahun bagi majlis daerah.

Kerajaan negeri juga meluluskan anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri dibenarkan menyertai semua mesyuarat jawatankuasa kecil di kawasan PBT masingmasing dengan status sebagai pemerhati.

Katanya, ini bermakna mereka tidak mempunyai hak mengundi di dalam sebarang keputusan mesyuarat.

Beliau berkata, perubahan itu dibuat bagi membolehkan wakil rakyat memahami isu setempat dengan lebih baik berikutan mereka kini tidak lagi menjadi ahli majlis PBT sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan negeri terdahulu. BERNAMA

Tiada ulasan: