Rabu, 27 Ogos 2008

(Dikemas kini, pukul 02.00 pagi)

Anwar kembali dipilih MP Permatang Pauh, letak dua tuntutan awal
Oleh G. MANIMARAN


PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkempen menggunakan tema Merdekakan Rakyat dan moto "Ke Putrajaya Bermula di Permatang Pauh" - kembali muncul sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh - selepas 'berehat' selama 10 tahun dengan majoriti 15,671 undi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatasi majoriti lebih 13,000 undi yang dicatatkan oleh isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan telah dipecat dari Umno dan kerajaan pada September 1998.

Minggu depan genap 10 tahun beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Selepas keputusan rasmi diumumkan, Pusat Operasi Utama PKR didendangkan dengan lagu "We Are The Champion". Bagaimanapun Anwar tiada di sini ketika itu.

Dalam keputusan rasmi diumumkan malam tadi, Anwar yang mewakili PKR memperoleh 31,195 undi manakala Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN pula mendapat 15,524 undi dan AKIM menerima 92 undi. Undi rosak pula 447.

Hanafi, yang juga Presiden AKIM, hilang wang pertaruhan. Berbanding dua calon itu, Hanafi yang turut dikenali sebagai Haji Pi tidak mengundi di Permatang Pauh.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya pada pukul 10.02 malam di Institut Perguruan Tuanku Bainun.

JADUAL KEPUTUSAN

Hanafi Mamat (AKIM): 92 undi
Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) : 31,195 undi
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi

Jumlah mengundi: 47,258
Keluar mengundi: 81 peratus
Undi rosak: 447 undi
Majoriti: 15,671 undi

Penyandang: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail (PKR)
Undi 8 Mac 2008: 30,348
Majoriti: 13,398 undi

Pada sidang media sejurus selepas keputusan rasmi diumumkan malam tadi, Anwar berharap beliau akan dibenarkan melangkah ke Parlimen secepat yang mungkin.

"Saya tidak nampak mengapa perlu (kemasukan ke Dewan Rakyat) perlu dilewatkan," kata beliau yang telah beberapa kali ketika ceramah kempennya menekankan akan berdepan mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Kewangan apabila membentangkan Bajet 2009 Jumaat ini.

Beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat esok bagi membolehkannya mengangkat sumpah.

Bagaimanapun beliau mengakui tarikh angkat sumpah tertakluk kepada budibicara Speaker Dewan Rakyat.

Tuntutan kedua beliau ialah agar tuduhan meliwat yang dikenakan ke atas beliau awal bulan ini digugurkan kerana terbukti tiada kes.

Selepas menemui ribuan penyokongnya yang berhimpun di pekarangan Institut Perguruan Tuanku Bainun Anwar yang dijangka kembali ke Yayasan Aman, terus menuju ke rumah beliau di Cheruk Tok Kun.

Ketika berucap kepada ribuan penyokongnya selepas pengumuman keputusan itu, Anwar mengulangi hasratnya untuk menubuhkan sebuah kerajaan persekutuan yang baru di bawah Pakatan Rakyat dalam waktu terdekat.

Dipetik Bernama, beliau yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat memberitahu, keputusan pilihan raya kali ini merupakan isyarat awal ke arah mencapai matlamat tersebut.

mStar Online difahamkan pagi ini (Rabu) beliau akan ke Kuala Lumpur untuk membuat persiapan mengangkat sumpah Khamis ini.

Dalam keputusan rasmi diumumkan malam tadi, Anwar yang mewakili PKR memperoleh 31,195 undi manakala Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN pula mendapat 15,524 undi dan AKIM menerima 92 undi. Undi rosak pula 447.

Hanafi, yang juga Presiden AKIM, hilang wang pertaruhan. Berbanding dua calon itu, Hanafi yang turut dikenali sebagai Haji Pi tidak mengundi di Permatang Pauh.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya pada pukul 10.02 malam di Institut Perguruan Tuanku Bainun.

Dalam reaksi segera, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai jentera BN sepanjang pilihan raya kecil ini berkata, kemenangan Anwar membuktikan amalan demokrasi masih segar di negara ini.

Bahagian Permatang Pauh terdiri daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Kini ADUN Seberang Jaya ialah Arif Shah manakala Penanti diwakili pemimpin PKR dan Permatang Pasir pula wakil PAS.

Di Seberang Jaya, Anwar memperoleh 11,084 undi, Arif Shah (6,345) dan Hanafi (36) manakala Penanti menyumbangkan Anwar sebanyak 8,054 undi, Arif Shah (4,229) dan Hanafi (27).

Di bahagian DUN Permatang Pasir, Anwar mendapat 12,034 undi, Arif Shah (4,381) dan Hanafi (26).

mStar Online difahamkan Anwar telah menang di kesemua 28 daerah mengundi.

Undi mula dikira sebaik sahaja proses pengundian ditutup pukul 5 petang semalam.

Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKR khususnya Pakatan Rakyat telah meraikan kemenangan Anwar sejak pukul 6 petang.

Keputusan tidak rasmi kemenangan Anwar telah diumumkan bermula pukul 6.30 petang di Pusat Operasi Utama PKR di Yayasan Aman, Penanti di sini.

Anwar yang berada di Yayasan Aman sejak petang meninggalkan premis ini ke Institut Perguruan Tuanku Bainun pukul 9.10 malam.

Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar - 69.49 peratus Melayu, Cina 24.56 peratus, India 5.79 peratus dan lain-lain 0.13 peratus.

Kira-kira 15 peratus pemilih merupakan mereka yang tinggal di luar Permatang Pauh.

Kali ini peratusan keluar mengundi ialah 81 peratus.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, 82.06 peratus daripada 58,449 pengundi keluar mengundi.

Pada pilihan raya kecil ini, Arif Shah, 51, menghadapi tentangan Anwar, 61, dan calon AKIM, Hanafi, 61.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Ahli Parlimennya, Presiden PKR, Dr. Wan Azizah pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan itu.

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, Dr. Wan Azizah mengalahkan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi.

Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihan raya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

BERITA TERDAHULU

Pengundian ditutup, 70 peratus undi; 5 bas penyokong BN ditahan PKR

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh telah ditutup pukul 5 petang tadi manakala penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menahan lima buah bas sehingga 3 petang tadi dengan mendakwa ia membawa penyokong-pemyokong Barisan Nasional (BN).

Tiga buah bas kini berada di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara, Bandar Perda dekat sini manakala dua buah lagi ditahan di Mengkuang Titi dan kemudian dibawa keluar dari kawasan itu.

Difahamkan, polis akan mengadakan sidang media khas pukul 6 petang ini.

Dua buah bas yang ditahan di Mengkuang Titi, yang dipercayai dari Melaka dan Johor, telah 'diarah' pulang selepas penumpang kedua-dua bas berkenaan ditemui calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Eksekutif Institut Integriti Pilihan Raya Kebangsaan (NIEI), Amin Shah Iskandar yang berada di tempat kejadian memberitahu mStar Online memberitahu, maklumat yang diterima menunjukkan penumpang-penumpang berkenaan merupakan penyokong BN, bukannya pengundi.

"Mereka maklumkan bahawa mereka datang untuk menyokong calon BN bukannya mengundi. Jadi mereka telah diarah balik," kata beliau.

Sementara itu, lebih 70 peratus pengundi telah pun keluar mengundi sehingga pukul 5 petang ini dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh hari ini - pilihan raya kecil yang dianggap sebagai 'ibu segala pilihan raya kecil dengan kawalan polis yang cukup ketat termasuk rondaan helikopter dan di sebalik kesesakan teruk.

Keputusan dijangka diketahui sebelum 10 malam ini. Proses pengiraan undi dimulakan mulai pukul 6 petang.

Proses pengundian bermula pukul 8 pagi ini dengan lebih 58,000 pemilih terus beratur panjang di pekarangan pusat-pusat pengundian di seluruh Permatang Pauh manakala setengah pengundi masih bertarung dengan kesesakan paling teruk.

Difahamkan di sesetengah tempat kesesakan menjangkaui jarak sehingga lima kilometer, menyebabkan sebahagian besar yang keluar mengundi sejak pukul 10 pagi 'meluangkan' masa mereka di atas jalan-jalan raya sementara menanti giliran.

Lebih 51 peratus telah keluar mengundi sehingga pukul 1 tengah hari.

"Anggaran kasar kami ialah lebih 70 peratus telah mengundi hari ini. Jika jumlah yang keluar mengundi kurang, salah satu faktor yang menyebabkan keadaan itu ialah kesesakan lalu lintas. Ramai yang terperangkap dalam kesesakan.

"Biasanya peratusan keluar mengundi ketika pilihan raya kecil adalah tinggi," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, yang turut meninjau perkembangan proses pengundian sejak pagi tadi, ketika dihubungi mStar Online.

Ketika ditanya sama ada peratusan kecil keluar mengundi kemungkinan disebabkan oleh pengundian diadakan pada hari bekerja, Wan Ahmad memberitahu, ia tidak harus menjadi masalah kerana kerajaan negeri telah mengumumkan hari ini sebagai cuti umum.

Angka rasmi peratusan keluar mengundi akan dikeluarkan sebentar lagi.

Selain meletakkan anggota polis di kesemua lokasi strategik polis juga membuat rondaan udara sejak pagi tadi.

Tambah kata Wan Ahmad, pada keseluruhannya proses pengundian berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini di kawasan pengundian.

"Polis memaklumkan tiada kejadian-kejadian tidak diingini berlaku. Difahamkan kesesakan hari ini dilihat sebagai paling teruk dialami dalam bahagian Permatang Puah, banyak orang luar turut hadir (ahli parti dan penyokong)," katanya.

Bagaimanapun, kereta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dibaling dengan botol air ketika meninjau proses pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya, Semilang di Seberang Jaya di sini.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Najib baru sahaja memasuki kereta selepas berjumpa dengan para penyokong BN.

Kemudian Najib memberitahu wartawan, bilangan anggota polis di kawasan penjumlahan undi di Institut Perguruan Tuanku Bainun malam ini akan dipertingkatkan.

Tinjauan mStar Online mendapati kesesakan teruk terus dialami di kawasan Permatang Pauh khususnya kawasan berhampiran pusat mengundi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah ketika ditemui di rumahnya pagi tadi berkata, peratusan arah aliran keluar mengundi sebeklah pagi ini lebih menggalakkan berbanding dengan situasi 8 Mac lalu.

"Ramai yang keluar mengundi. Saya gembira dengan sokongan diberikan dan yakin boleh menang," katanya.

Pengundi Permatang Pauh telah dinasihatkan supaya keluar mengundi lebih awal ketika cuti umum diisytiharkan di seluruh Pulau Pinang.

Anwar yang turun gelanggang untuk mendapatkan semula kerusi itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat berkata: "Berdasarkan keadaan semasa, saya optimis, Insya-Allah.

"Pun begitu kepada Tuhan kita sandarkan harapan. Harapan ini bukan untuk Anwar Ibrahim semata-mata, tetapi untuk rakyat dan masa depan negara," kata Anwar dalam blognya tengah hari ini.

Kempen 10 hari berakir yang berakhir malam tadi memperlihatkan perjalanan kempen yang tenang tetapi agak panas dengan pelbagai tuduhan, kecaman dan kritikan.

Lebih 10 isu nasional dan puluhan masalah tempatan diletakkan oleh calon-calon yang bertanding sejak 16 Ogos lalu.

Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar - 69.49 peratus Melayu, Cina 24.56 peratus, India 5.79 peratus dan lain-lain 0.13 peratus.

Kira-kira 15 peratus pemilih merupakan mereka yang tinggal di luar Permatang Pauh.

Sebanyak 110 saluran di 28 pusat mengundi disediakan untuk tujuan pengundian.

Seramai 490 anggota polis sudah membuang undi secara pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada Sabtu lalu.

Semua kertas undi yang telah dikira di saluran-saluran mengundi akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini sebelum keputusan diumumkan. Ia juga merupakan tempat penamaan calon hari itu.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Arif Shah yang mewakili BN dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

Arif Shah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Seberang Jaya.

Walaupun terdapat pertarungan tiga penjuru tetapi persaingan sengit adalah melibatkan Anwar dan Arif Shah - yang pernah menduduki platform politik yang sama satu dekad yang lalu.

Arif Shah telah mengundi di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya II pada pukul 8 pagi. Beliau memasuki pusat pengundian pukul 8 pagi bersama isteri dan anaknya dan keluar 15 minit kemudian.

Anwar membuang undi di Sekolah Rendah Seri Penanti pada pukul 9.48 pagi bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail iaitu bekas penyandang kerusi itu dari 1999 hingga 31 Julai lalu.

Dalam pada itu, Hanafi walaupun bertanding di sini tetapi tidak mengundi kerana beliau merupakan pengundi kawasan Tanah Merah, Kelantan.

Pilihan raya kecil diadakan ekoran keputusan Dr. Wan Azizah, yang menang dengan majoriti 13,388 undi selepas memperoleh 30,338 undi menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang memperoleh 16,950 undi mengosongkan kerusi itu.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 yang dimenanginya atas tiket BN, mahu mendapatkan semula kerusi itu menerusi PKR yang merupakan anggota komponen Pakatan Rakyat.

Ketiga-tiga calon yang bertanding memberitahu semalam bahawa pihaknya yakin akan memperoleh kemenangan walaupun berhadapan dengan cabaran dan halangan.

Bagi Anwar, selain mahu mempertahankan kubu kuat PKR di kawasan itu, pilihan raya kecil tersebut juga merupakan titik permulaan untuk menubuhkan 'kerajaan baru' bersama gabungan parti pembangkang Pakatan Rakyat.

"Ke Putrajaya Bermula di Permatang Pauh" - ini moto kempen Anwar dengan bertemakan "Merdekakan Rakyat".

Arif, bekas Ketua Pemuda Umno ketika Anwar menjadi Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh meletakkan moto "Di Sini Untuk Permatang Pauh".

Semalam beliau berkata, sokongan menunjukkan arah aliran peningkatan dan peluang untuk menang.

Begitu juga Hanafi atau turut dikenali sebagai "Haji Pi" yang menganggap pemilih Permatang Pauh sudah mula menerima kehadiran beliau.

Pilihan raya kecil ini membuka tirai pengundian dengan SPR terpaksa menyiasat dakwaan PKR mengenai kehilangan sebanyak 944 nama pengundi daripada daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata, SPR akan menyiasat mengenai dakwaan itu daripada bahagian maklumat komputernya sebelum membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu.

Kamaruzaman berkata, pilihan raya kecil Permatang Pauh esok akan mengguna pakai Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari 2008 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan pada 19 Julai dan dikemaskini pada 31 Julai lalu.

Kamaruzaman berkata, bagi warganegara yang berumur 21 tahun ke atas yang baru memohon didaftarkan sebagai pemilih pada 1 April lepas tidak boleh mengundi kerana nama mereka belum disenaraikan dalam daftar pemilih itu.

Dalam pada itu, polis memberikan jaminan pilihan raya kecil adakan dengan lancar dan tenang.

Jaminan itu diberikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, dengan berkata, jumlah anggota polis yang ditugaskan pada pilihan raya kecil itu adalah mencukupi untuk mengawal sebarang keadaan sepanjang pengundian berlangsung.

"Kami sudah membuat persiapan rapi bagi pilihan raya kecil ini dan anggota kami akan memantau keadaan 24 jam.

"Pengundi tidak perlu bimbang semasa mengundi. Semuanya terkawal. Hanya patuhi peraturan dan semuanya akan berjalan dengan lancar," katanya kepada Bernama.

Tiada ulasan: