Jumaat, 15 Ogos 2008

(Dikemas kini)

KP Tourism Malaysia mengaku tidak bersalah terima rasuah rawatan gigi RM13,000


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menerima rasuah berbentuk rawatan pergigian bernilai RM13,860 pada 2005.

Mirza didakwa menerima suapan itu daripada Zulhisyam Ayob, 48, pengarah syarikat Perunding Pakar Media Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding pengiklanan di mana syarikat itu telah membiayai rawatan tertuduh di Clinical Practise Prosthodontic Sdn Bhd ketika beliau memegang jawatan timbalan ketua pengarah lembaga berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di klinik itu di No. 15, Ground Floor, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr. Ismail, di antara 17 Jan hingga 26 Julai 2005.

Mirza menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata, jumlah itu adalah munasabah setelah pihak pendakwaan mengambil kira jumlah suapan yang terlibat serta kedudukan Mirza sebagai pegawai kanan kerajaan.

Peguam Mirza, Manmohan Kang meminta mahkamah agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan peribadi memandangkan beliau telah berkhidmat dengan lembaga berkenaan selama hampir 23 tahun dan tidak akan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

Hakim Fathiyah Idris menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan perbicaraan kes diadakan selama tiga hari bermula 16 Februari tahun depan.

Tiada ulasan: