Khamis, 7 Ogos 2008

DAP bantah pelantikan Akhbar Ali sebagai ahli Dewan Negara
Zaili Muhammad

MELAKA - DAP membantah pelantikan Dato' Akhbar Ali sebagai Ahli Dewan Negara yang baru bagi mewakili negeri Melaka pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana ianya adalah pelantikan politik

Menurut Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Piong (DAP) bahawa cara pelantikan yang diamalkan itu tidak telus dan merupakan pelantikan politik bagi memenuhi kehendak sesetengah pihak yang berkepentingan.

"Seringkali nama mereka yang kalah dalam pilihan raya mahupun tidak dicalonkan dari parti komponen Barisan Nasional (BN) dilantik untuk mewakili kuota negeri sedangkan elaunnya dibayar oleh rakyat.

"Sudahnya calon ini yang dilantik oleh BN dan juga orang kuat Umno cuma akan menjaga kepentingan BN sahaja bukannya membawa suara rakyat sekiranya bertentangan dengan polisi BN," kata Khoo.

Beliau mencadangkan supaya diberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berkelayakan untuk membuat permohonan atau dicadangkan oleh organisasi NGO terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, peguam dan arkitek.

Tambahnya, suatu hari nanti Ahli Dewan Negara ini juga dipilih melalui pilihan raya kerana lebih telus dan dapat mewakili suara rakyat serta dapat menyumbang secara lebih berkesan kepada negara.

Akhbar Ali berasal dari kampung Tedong, mempunyai empat orang anak dan tinggal di Ozana Villas, Bukit Katil, Melaka.

Beliau sekarang berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif, Direktorat Pelaksanaan Negeri Melaka dan beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuklah Pengurus MAIM Travel, Ketua Pengarang 'Melaka Hari Ini' serta Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Melaka.

Ahli Umno sejak 40 tahun lalu, pernah menjadi Ketua Umno Cawangan Tedong, Ajk Pemuda Bahagian Jasin dan Ajk Bahagian Jasin serta aktif di dalam biro-biro hingga di peringkat Perhubungan Umno-Bn dan sekarang beliau adalah Bendahari Umno Jasin. - mks._

Tiada ulasan: