Isnin, 18 Ogos 2008

Calon BN: Sokongan baru meningkat 5 peratus
Oleh G. MANIMARAN


PERMATANG PAUH: Selepas kempen dua hari pertama, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah berkata, sokongan kepada beliau mula meningkat dalam sekitar lima peratus berbanding kedudukan sebelum hari penamaan calon.

Sehubungan itu, kata Arif Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Seberang Jaya, beliau optimistik dengan peluang untuk menang.

"Sebelum ini saya melihat peluang 60:40 peratus dengan memihak kepada Datuk Seri Anwar.

"Tetapi selepas kempen selama 48 jam, saya mendapati kedudukan 45:55 peratus walaupun angka itu masih memihak kepada Datuk Seri Anwar.

"Ini menunjukkan bahawa ada perubahan sokongan, ini perkembangan yang baik," kata beliau ketika ditemui Seberang Jaya dekat sini.

Kata beliau, sepanjang dua hari pertama beliau telah melawat hampir 15 peratus kawasan.

Penamaan calon diadakan pada Sabtu lalu manakala pengundian pada 26 Ogos dengan tempoh kempen selama 10 hari ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Arif Shah, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat.

Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai 58,459 pengundi terdiri daripada 69 peratus pengundi Melayu, 25 peratus Cina, enam peratus India dan lain-lain kaum selepas Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen kawasan itu pada 31 Julai bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding kerusi itu.

Anwar merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh sejak pilihan raya umum 1982 hingga 1999, sebelum melepaskannya apabila dijatuhi hukuman penjara kerana penyalahgunaan kuasa.

Ketikan ditanya kempennya, Arif Shah berkata, pihaknya telah mengatur tujuh strategi dengan salah satunya dinamakan Jejak Pemilih.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan enam yang lain.

"Kita mungkin menggunakan semua strategi atau menggunakan empat atau lima sahaja, bergantung pada perjalanan kempen pilihan raya," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa pihaknya ada mendapatkan salinan kad pengenalan dan memberi wang kepada ejen-ejen pilihan raya untuk menguruskan jentera pilihan raya.

"Ejen-ejen ini mendapatkan salinan kad pengenalan untuk tujuan akaun perbelanjaan dan pekerja-pekerja mereka dibayar antara RM50, RM100 dan RM500 tertakluk kepada jenis kerja yang dilakukan. Semua direkodkan," katanya.

Tiada ulasan: