Rabu, 6 Ogos 2008

BPR digesa siasat pimpinan Umno termasuk Abdullah
Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR - Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan politik wang termasuk presidennya dalam pemilihan Umno akan datang.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus dalam kenyataanya berkata, rakyat sudah bosan dengan langkah sekadar hanya menyatakan kes sedang disiasat tetapi tidak ada tindakan yang diambil.

Katanya, pemilihan pemimpin Umno perlu bersih dan hanya pemimpin yang bersih sahaja mampu memimpin secara amanah, telus dan transparen.

Beliau juga menaruh keyakinan kepada BPR untuk terus komited dalam usaha membanteras rasuah.

"Dalam masa yang sama Gerak akan terus memberikan sokongan sama ada dalam bentuk maklumat dan informasi yang boleh membantu BPR menyelesaikan kes rasuah," katanya.

Gerak turut menyokong tindakan vateran Umno Dato' Mazlan harun untuk melaporkan kes rasuah politik yang didakwa melibatkan Presiden Umno.

Tambahnya, tuduhan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Dato' Zahar Hashim bahawa Perdana Menteri terlibat dalam politik wang harus diambil perhatian.

"Sudah pasti tataetika versi 2008 wajib dipatuhi oleh semua lapisan ahli dan pimpinan Umno yang mahu bertanding dalam pemilihan, tataetika tidak akan bermakna sekiranya hanya ahli biasa sahaja perlu mematuhinya tetapi kepimpinan tertinggi boleh sahaja melanggarinya,"kata beliau.

Justeru, beliau berkata, BPR tidak perlu bersifat pilih kasih, jika benar ada laporan dan bukti, tindakan dan dakwaan perlu dijalankan dengan segera. - mks. _

Tiada ulasan: