Rabu, 20 Ogos 2008

Bom disangka besi buruk
Oleh: Nazarali Saeril

KUALA SELANGOR: Dalam filem aksi Bollywood, hero terhumban akibat letupan bom sebelum bingkas bangun.

Namun lain yang berlaku di Batu 2, Kampung Baru di sini, apabila seorang warga India yang memotong bom peninggalan Perang Dunia Kedua kerana disangka besi buruk menyebabkan dia tercampak sebelum maut, petang semalam.

Rakan sekerja lelaki terbabit dari Bangladesh turut tercampak dan kini kritikal kerana turut terkena kesan serpihan letupan bom yang menggegarkan kampung berkenaan.

Letupan kuat itu berpunca daripada bom yang dibeli kira-kira pada jam 11 pagi semalam daripada seorang penjual besi lusuh bersama besi buruk lain.

Difahamkan, pekerja di kedai berkenaan mungkin tidak menyedari di celah longgokan besi buruk baru dibeli itu, ada sebutir bom peninggalan perang.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an cuba memotong bom terbabit sebelum ia tiba-tiba meletup.

Berikutan ledakan itu, sebahagian asrama menempatkan beberapa pekerja kedai besi buruk terbabit musnah manakala bahagian depan kepala sebuah lori remuk.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ibrahim Chin, berkata penjual besi buruk berkenaan tidak menyedari barang lusuh dijual kepada pengusaha kedai terbabit sebutir bom.

“Kejadian berlaku kira-kira pada jam 3.30 petang apabila pekerja yang tidak tahu ia sebutir bom cuba memotongnya.

“Akibatnya, mangsa serta seorang lagi rakan sekerjanya parah dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan, tetapi warga India itu mati dalam perjalanan ke sana,” katanya, semalam.

Menurut Ibrahim, siasatan awal mendapati bom lama itu ditemui di sekitar Jeram di sini, tetapi ia tidak dikenali penjual terbabit sebelum dijual kepada pengusaha kedai berkenaan.

Pekerja kedai berkenaan juga dipercayai tidak tahu ia sebutir bom sebelum memotongnya.

“Polis menasihatkan orang ramai yang menemui besi lama meragukan atau berbentuk seperti bom supaya tidak mengambil atau menyentuhnya.

“Apa yang perlu dilakukan ialah laporkan kepada polis kerana mungkin masih ada bom peninggalan Perang Dunia Kedua di kawasan tertentu di sekitar Kuala Selangor,” katanya.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati pagar kedai besi buruk itu ditutup rapat manakala anggota serta pegawai Unit Pemusnah Bom, Forensik dan pelbagai jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘berkampung’ dalam kedai terbabit.

Pengusaha, penjual serta pekerja kedai besi buruk terbabit berada dalam premis itu bagi membantu siasatan polis, manakala orang awam tidak dibenarkan berada dalam kawasan yang dikepung dengan pita kuning bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Hampir 100 penduduk kampung mengerumuni kawasan depan kedai terbabit untuk mengetahui apa yang berlaku dan sebahagian daripada mereka bimbang letupan berlaku lagi.

Tiada ulasan: