Ahad, 17 Ogos 2008

Bekas Ketua MIC bahagian Klang sertai DAP

KLANG: Bekas Ketua MIC bahagian Klang Alex Thiagarasan yang dipecat awal bulan lepas, hari ini menyertai DAP.

Beliau menyerahkan 1,500 borang keahlian baru kepada anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP Ronnie Liu dalam satu majlis ringkas di Dewan Hamzah di sini.

Bercakap pada majlis itu, Thiagarasan berkata beliau dan penyokongnya mengambil keputusan menyertai DAP setelah yakin bahawa parti itu adalah pentas politik yang lebih baik berbanding MIC.

"Saya mengalu-alukan kedatangan penduduk yang memerlukan perkhidmatan saya dan mereka boleh menemui saya di pusat khidmat yang sudah dibuka di Jalan Teluk Pulai di sini," katanya.

Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor mengalualukan kemasukan Thiagarasan dan penyokongnya serta memberi ingatan agar mereka mematuhi peraturan dan kebudayaan parti.

Thiagarasan dipecat dari MIC pada 7 Julai lepas setelah beliau membuat laporan polis dan laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

Samy Vellu seterusnya memfailkan saman terhadap Thiagarasan dengan menuntut RM10 juta kerana memfitnah beliau dan memperolehi perintah injunksi sementara bagi menghalang Thiagarasan daripada terus menerbitkan artikel mengandungi fitnah mengenai beliau, sehingga kes samannya selesai. BERNAMA

Tiada ulasan: