Isnin, 11 Ogos 2008

Bank Negra sedia tarik balik
Oleh: Mowardi Mahmud

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia menarik balik pembatalan kelulusan pembelian PT Bank International Indonesia (BII) yang dikenakan ke atas Malayan Banking Bhd. (Maybank), sekiranya terdapat kewajaran yang positif.

Menurut sumber yang mengetahui tentang urus niaga itu, bank pusat itu tidak pernah menghalang mana-mana bank termasuk Maybank untuk membeli bank lain kerana urus niaga itu dilihat satu kegiatan komersial.

''Sekiranya Maybank setelah menilai keadaan yang ada (jika ada tawaran lanjutan tempoh menjual kepentingan BII), merasa 'selesa' atau 'baik untuknya' dan BNM boleh menarik balik pembatalan itu,'' kata beliau.

Sumber itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan bank pusat itu menarik balik pembatalan pembelian berikutan terdapat perkembangan baru di Indonesia.

Khamis lalu, akhbar harian kewangan Bisnis Indonesia melaporkan terdapat kemungkinan agensi pasaran modal Indonesia, Badan Pengawas Pasar Modal dan Lembaga Keuangan (Bapepam) bertolak ansur dan membenarkan Maybank menjual 20 peratus kepentingan BII dalam tempoh tiga hingga lima tahun berikutan tawaran tender.

BNM telah menarik balik kelulusan untuk pembelian BII pada 29 Julai apabila Bapepam secara 'mengejut' menguat kuasa peraturan baru yang memerlukan bank perdagangan terbesar di Malaysia melupuskan kepentingan itu dalam masa dua tahun.

Kemelut itu juga menyebabkan Perhimpunan Bank-Bank Indonesia (Perbanas) meminta Bank Indonesia, bank pusat republik itu, melarang Maybank beroperasi dan melabur di Indonesia sebagai reaksi terhadap tindak balas keputusan BNM menghalang pembelian BII.

Sumber itu menambah, BNM melihat tempoh dua tahun itu tidak mencukupi untuk harga saham BII meningkat dengan ketara dan boleh mendatangkan kerugian besar kepada Maybank yang memegang baki 80 peratus kepentingan berkenaan, jika terpaksa menjualnya.

Kerugian yang ditanggung Maybank, bank perdagangan terbesar di Malaysia, dilihat boleh menjejaskan pasaran modal dan menyebabkan timbulnya kesan buruk ke atas industri perbankan di Malaysia.

Bank perdagangan itu sebelum ini juga dilaporkan boleh mengalami kerugian kira-kira RM3.4 bilion jika meneruskan pembelian BII tanpa tidak disekat oleh BNM. Jumlah itu lebih daripada RM3.2 bilion keuntungan selepas cukai yang dicatatkan oleh bank itu dalam tahun kewangan yang lepas.

Maybank kini berdepan dengan kehilangan deposit sebanyak RM480 juta kepada Temasek Holdings Pte. dari Singapura sekiranya pembelian itu gagal disempurnakan menjelang 26 September ini kerana ia tidak boleh dilakukan tanpa restu bank pusat Malaysia.

Pada Mac lalu, Maybank bersetuju membeli pegangan BII yang dimiliki Temasek dan Kookmin Bank dari Korea (KB).

Pembelian itu dibuat melalui perjanjian jual beli bersyarat melibatkan pembelian kepentingan 100 peratus dalam Sorak Financial Holdings Pte. Ltd. (Sorak), yang dimiliki 75 peratus oleh Fullerton Financial Holdings Pte. Ltd., anak syarikat milik penuh Temasek Holdings manakala baki 25 peratus oleh Kookmin Bank.

Pembelian itu akan menjadi Maybank sebagai sebuah syarikat penyedia kewangan asing terbesar di Indonesia di negara tersebut yang mempunyai 230 juta penduduk.

Tiada ulasan: