Khamis, 7 Ogos 2008

Bahaya Umno Hadapi Ledakan Dalaman
A Kadir Jasin

KALAU pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu Umno cedera parah akibat “dibom” oleh pengundi, kini parti peneraju itu sedang menderita pengeboman dari dalam.

Meminjam istilah kimia, Umno kini sedang mengalami “implosion” iaitu ledakan dari dalam. Ledakan jenis inilah yang digunakan untuk meruntuhkan bangunan lama.

Proses ini bermula pada PRU ke-12 apabila ahli dan penyokong Umno yang tidak yakin kepada Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sama ada tidak keluar mengundi, merosakkan undi atau mengundi pembangkang.

Penentangan mereka menjadi semakin jelas dan keras apabila Abdullah tidak mempedulikan protes mereka.

Sebaliknya Abdullah dan konco-konco beliau terus berdegil dan dengan sombong mengatakan mereka menang besar dan tidak perlu mengundurkan diri.

Percubaan mengubati luka ahli akar umbi ditamatkan apabila rombongan yang dikepalai oleh Timbalan Presiden, Mohd Najib Abdul Razak ke Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor menghadapi reaksi sangat negatif. Di banyak tempat mereka menuntut agar Abdullah mengundurkan diri.

Abdullah mengambil alih pengendalian pertemuan seterusnya. Pada mulanya ia diatur oleh Ibu Pejabat Umno tetapi kemudiannya oleh Jabatan Penerangan Khas (Jasa) kerana khuatir dituduh menggunakan Ibu Pejabat untuk tujuan peribadi.

Malangnya, pertemuan Abdullah dengan kepemimpinan cawangan dan bahagian yang diatur oleh Jasa itu juga berbau politik peribadi dan didakwa mengandungi unsur-unsur penyalahgunaan kuasa, rasuah, sogokan dan ancaman.

Ini menjadi ketara apabila Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (Bersara) Zahar Hashim, menulis surat kepada Setiausaha Agung Umno (Tengku Adnan Tengku Mansor) menuntut agar Abdullah dan Mohd Najib dikenakan tindakan disiplin kerana menyalahgunakan kuasa.

Zahar menuduh Presiden dan Timbalan Presiden itu menggunakan Jasa sebagai tapak untuk kempen merebut jawatan.

“Abdullah bertemu dengan pemimpin Umno melalui Jasa di Kuala Lumpur dan memberi mereka wang dan kain pelekat atau batik dan menyediakan mereka penginapan hotel empat bintang serta hiburan,” kata Zahar di dalam suratnya.

Dia mendakwa surat Ibu Pejabat Umno bertarikh 8 Julai menjemput semua ketua bahagian, cawangan, Puteri, Putera dan Wanita dari seluruh negara untuk menghadiri taklimat tertutup di Ibu Pejabat pada 10 Julai.

Zahar menuduh dalam taklimat itu Abdullah dan Najib secara terang-terang berkempen untuk mempertahankan jawatan nombor satu dan dua parti Disember ini.

Menurut Zahar, mengadakan pertemuan dan memberi “wang kocek” kepada ahli parti adalah bertentangan dengan garis panduan parti dan menambah bahawa Presiden dan Timbalan Presiden tidak terkecuali daripada arahan itu.

Katanya Abdullah dan Mohd Najib melanggar garis panduan yang mereka sendiri buat.

“Adakah ini yang mereka maksudkan dengan kepimpinan melalui teladan,” tanya Zahar.

Dia membidas pelan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Mohd Najib (pada 2010) sebagai “rasuah politik yang paling besar.”

Kalau ledakan dalaman oleh bekas pegawai tentera itu sudah cukup mengaibkan, bayangkan pula laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dikemukakan oleh veteran Umno Mazlan Harun semalam (5 Ogos).

Mazlan yang pernah menjadi ahli exco Pemuda Umno menuduh Abdullah dan Mohd Najib menyalahgunakan kuasa kerana “menggunakan jentera kerajaan untuk mendapatkan sokongan bagi mengekalkan kedudukan dalam parti pada pemilihan akan datang.”

Soalan yang muncul di fikiran saya adalah – apakah Umno akan meledak dari dalam dan runtuh menjadi timbunan batu-batan sejarah politik Malaysia?

Atau apakah Umno akan menjadi seperti burung mitos phoenix yang membakar dirinya untuk hidup semula sebagai unggas yang lebih perkasa?

Apa sekali pun, perkembangan terbaru ini tidak membantu menaikkan imej Umno di saat-saat ia diragui oleh parti-parti rakannya di dalam Barisan Nasional dan diasak oleh parti-parti lawan.

Sekalipun ketua de facto Parti Keadilan Rakyat dan bakal calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh, Anwar Ibrahim, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat, imej kepemimpinan Abdullah yang koyak-rabak tidak membantu usaha BN menawan semula kerusi itu.

Tiada ulasan: