Selasa, 5 Ogos 2008

Azmin: Isu ekonomi lebih menarik diperjelas, bukannya tuduhan liwat

BUKIT MERTAJAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, parti itu akan mengetengahkan isu ekonomi sebagai topik utama sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Beliau berkata, isu itu lebih menarik untuk dijelaskan kepada rakyat berbanding isu tuduhan liwat yang melibatkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Rakyat semua sudah tahu bahawa itu adalah fitnah. Keadaan ekonomi negara pada ketika ini berada dalam keadaan yang tidak stabil dan rakyat amat tertekan.

"Jentera parti akan turun ke setiap kawasan dan memberi penerangan serta penjelasan tentang keadaan ekonomi negara hari ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Angkatan Muda PKR di sini Ahad.

Azmin yang juga pengarah pilihan raya kecil Permatang Pauh berkata, jentera parti telah bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan Anwar berjaya mengekalkan kerusi Permatang Pauh.

"PKR tidak bergerak sendiri tetapi juga akan dibantu dengan Pas dan DAP dalam memastikan kemenangan ini," katanya.

Khamis lepas, anggota parlimen kawasan itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan mengundi.

Mengenai Permatang Pauh sebagai tempat selamat bagi Anwar, Azmin berkata :"Semua kawasan yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat khususnya PKR adalah selamat.

"Ramai yang telah menawarkan tempat mereka tetapi beliau (Anwar) memilih untuk bertanding di Permatang Pauh," katanya.

Ditanya jika Anwar ditangkap, beliau berkata, proses pilihan raya akan tetap diteruskan dan pihaknya akan memastikan penahanan Anwar tidak akan berlaku.

"Sekarang ini laporan yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara masih belum diteliti lagi. Jadi jangan buat apa-apa andaian.

"Lagipun selagi tidak didapati bersalah Anwar masih boleh bertanding untuk pilihan raya kecil ini. Sekiranya ditahan juga pihak kami tidak akan berdiam diri dan berkompromi. Kami akan bertindak," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: