Sabtu, 9 Ogos 2008

Apa akan jadi pendidikan kita ?
Oleh: Faisal Idris

Semalam, ketika memberi ucapan di cermah umum di PJS 4, Kampung Medan, Anwar Ibrahim menyatakan betapa universiti-universiti di negara ini merudum teruk. Beliau menekankan antaranya ialah universiti nombor satu negara yang difahami umum, Universiti Malaya.

Dalam konteks ini, Anwar mengaitkan betapa teruknya kualiti Naib Cancelor Universiti Utara Malaysia, Professor Nordin Kardi, yang menjadi panel bersama Shabery Chik lewat debat isu minyak tempuh hari.

Dalam bidasannya, Anwar mengejek kedangkalan dan cara berfikir Nordin Kardi. Antara minyak dan gas pun professor ini tidak memahami. Dalam pada itu ramai pendengar yang berteriak ” professor kangkung, professor kangkung”, disambut senyuman Anwar.

Selanjutnya Anwar mendedahkan Nordin Kardi selama sepuluh tahun kerjanya menanamkan sifat kebencian terhadapnya dalam siri kursus Biro Tatanegara ketika dia menjadi Pengarah BTN. Antaranya Nordin sentiasa menuduh Anwar ejen Yahudi dan pelbagai lagi tuduhan yang bertujuan menjatuhkannya.

Cara Nordin cuba memerangkap Anwar dengan soalan yang “low class” seolah cuba meletakkan minda Anwar serupa taraf dengan peserta BTN dari UMNO atau pelajar baru yang mendaftar tahun pertama. Ketika debat itu sedang berjalan dan ketika Nordin menyoal jelas sekali audien yang hadir tertoleh-toleh tanda kecewa.

Kini semuanya sudah terserlah. UUM mempunyai Naib Canselor yang memalukan para pelajarnya sendiri. Anak saudara penulis yang sudah tamat belajar di UUM menghempas botol coca-cola sambil mengeluarkan kata-kata yang tak patut disebut di sini akan bekas cikgunya, NC Nordin Kardi ketika menonton debat tersebut.

Persoalannya di sini, siapakah yang Nordin Kardi wakili dalam perdebatan isu minyak tempuh hari? Adakah ia mewakili dirinya sendiri? Adakah dia mewakili UMNO atau mewakili akademia? Adakah Nordin mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Pelajaran Tinggi?

Apapun, di akhir perdebatan kesimpulannya Nordin Kardi hanya berjaya “mengkeldaikan” dan memalukan komuniti akademia. Lebih parah lagi jika Nordin Kardi perasan bahawa dia mewakili para intelek se Malaya. Beberapa rakan akademia dari sebuah universiti di Shah Alam geleng kepala , “what a blunder, man”.. klik video.

Beberapa waktu yang lalu, Nordin Kardi berjaya mendapatkan perintah mahkamah terhadap Raja Petra Kamarudiin kerana sebuah artikel yang tersiar berikutan satu isu ciplak. Dalam tuntutannya, Nordin menganggap dirinya mewakili intelek Malaysia dalam samannya terhadap RPK.

Nordin berjaya mendapat hanya RM4 juta dari jumlah tuntutannya sejumlah RM80 juta. Itupun kerana tuntutan itu diberikan secara ‘default judgement’ kerana RPK tidak pernah hadir di mahkamah malahan ketika mendapat penghakiman, RPK tidak ambil pusing malah mengtongsampahkan surat itu.

Persoalannya, apakah begitu ciput nilai para intelek seluruh Malaysia ini?? Jika RM 4 juta dibahagikan kepada beratus malah beribu-ribu intelek di Malaysia ini, maka nilai seorang intelek di sini hanya boleh dinilai dengan duit rupiah, baharulah dapat dinilai beribu atau berjuta banyaknya!

Pastinya ramai intelek tidak bersetuju dengan tindakan Nordin Kardi kecuali intelek-intelek yang ada kalung/tags “Professor Kangkung” atau intelek intelek yang mencapai taraf ‘professorship’ di atas tatangan dan naungan politik UMNO/BN.

Nordin Kardi sememangnya lebih dikenali sebagai BTN. Apabila dia dipilih sebagai Naib Canselor UUM menggantikan Allahyarham Dr Fauzi Basri, agak sukar untuk difahami matlamat sebenar pemilihannya. Yang jelas, Nordin lebih dilihat sebagai penyambung atau pewaris cengkaman kuku besi di UUM. Samada dia berjaya mengumnokan siswa UUM tidaklah diketahui sangat. Bagaimanapun, gerakan pelajar menentang AUKU tidak pernah kendur malah semakin menyala. [Rang undang-undang pindaan AUKU akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang]

Sebagai contoh, tindakan keras mengekang siswa di UUM ialah dalam kes Rizal Mohd Anan yang menyaman UUM kerana menggantung pelajarannya selama 3 semester pada awal tahun 2000, hanya kerana terlibat dalam satu perdebatan. Mahkamah telah membuat keputusan yang memihak kepada siswa tersebut dengan penyelesaian RM70,000.

Tidak ketinggalan ahli akademia di UUM juga mendapat tekanan. Ketika syarat akujanji dipaksakan kepada ahli-ahli pendidikan, UUM adalah antara yang begitu keras dan tegas melaksanakanya. Bagaimanapun tidak semuanya setuju menerima syarat dan tekanan akujanji.

Terdapat seorang kakitangan akademik yang ditunjukkan “exit door’ kerana enggan menandatangani akujanji.

Daripada contoh-contoh di atas dan mengambil banyak contoh lain berlaku di pusat-pusat pengajian tinggi awam di negara ini jelas bahawa perkembangan pendidikan tinggi Malaysia ke arah ‘world class’ terbantut sejak sekian lama. Antaranya kerana mengikut telunjuk kebejatan politik pimpinan sekarang, yang hanya mahukan tukang angguk dan tukang sokong “ngeh,ngeh”.

Kronik. Tindakan radikal dan berani untuk merubah pendidikan dirasakan amat perlu.

Seandainya tidak bagi Malaysia, sekurang-kurangnya negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat perlu menganjak paradigma baru, malah dalam tempuh lima tahun ini menampilkan kewajaran yang lebih tambah-nilainya. [Baca rencana bertajuk, mind schooling race untuk gambaran jelas akan senario ini].

Negeri-negeri Pakatan rakyat, perlu mendahului dan menunjukkan kepada umum bahawa pengekangan pendidikan tidak memberi kesan yang baik untuk mencapai jenerasi ‘e-knowledge’ yang berkualiti. Apatah lagi ketika dunia sedang mengharungi kepelbagaian liberisasi peringkat global.

Langkah pertama yang perlu ialah memberikan ruang kepada pendidikan untuk berkembang dengan lebih positif tanpa kekangan yang melampau dengan memberi ruang seluas mungkin kepada pakar-pakar akademia untuk berkarya dalam memajukan pendidikan.

Dengan kebebasan berkarya pastinya golongan akademia mampu menghasilkan produk-produk baru pendidikan yang mampu dijaja ke santero dunia. Maka baharulah kita boleh melolong dan melelong bahawa di sinilah wujudnya satu hub-pendidikan yang ‘world class’.

Ibarat besi semberani, seluruh mata dunia ditarik kesini. Anak Malaysia diluar negara pasti kembali ke sini. Bukan sedikit anak cerdik pandai Malaysia berada diluar, dan bukan sedikit yang ingin kembali ke negara tumpah darah.

Bagaimanapun, suasana yang tidak kondusif untuk mereka berkarya disini, tekanan-tekanan politik yang membabi buta membuatkan pintu hati mereka tertutup rapat.

Bagi mereka yang berada di sini pula besar kemungkinan hanya menjalankan tugas memenuhi syarat perkhidmatan dan mengambil jalan ‘non-confrontational’ dengan cara berdiam diri.

Seandainya terus-terusan begini, tidak hairan jika satu waktu nanti pendidikan tinggi negara ini akan terus merudum kerana dikuasai oleh “kangkung-kangkung” dan pemanas-pemanas kerusi empuk berhawa dingin yang sudah beku dan jumud kreativitinya.

Lebih dari itu, maka seruan-seruan untuk memertabatkan pendidikan akan hanya tinggal seruan dan cakap-cakap politik yang tidak terpakai dan beransur-ansur menjadi bohong. Paling tidak ia akan hanya menjadi album kenangan ketika pelancaran pelbagai program pemimpin bersama rakyat!

Akhirnya yang akan kerugian negara ini sendiri. Ia akan mengalami ‘brain drain’ dan mengimpot tenaga asing sama seperti sektor buruh dan ladang. Kesannya, esuk atau lusa kita akan meratapi kesilapan semalam apabila jenerasi baru meludah ke muka kita.

Keyakinan Anwar untuk mengangkat mertabat pendidikan negara ini sekiranya Pakatan Rakyat mengusai Putrajaya perlu di beri perhatian serius. Andaikata menjadi realiti bahawa Malaysia ini boleh menjadi hub-pendidikan bertaraf “world class”, perlukah kita bimbang bila negara kehabisan sumber petroleum?

Tiada ulasan: