Rabu, 20 Ogos 2008

Anwar nafi ceramahnya tiada permit

BUKIT MERTAJAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa setiap ceramah yang diadakan oleh Pakatan Rakyat sepanjang kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh tidak ada permit.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan permit ceramah itu.

"Itu tidak benar. Polis sepatutnya bekerja mengikut undang-undang. Bagaimanapun, yang saya faham polis dah bagi kerjasama yang cukup baik. Permit ceramah memang kita peroleh," katanya.

Pilihan raya Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anwar, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat setelah penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR meletak jawatan sebagai anggota Parlimen kawasan itu.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata pihaknya menerima enam laporan daripada wakil parti Barisan Nasional (BN) berhubung ketiadaan permit ceramah oleh PKR.

Beliau berkata polis telah meluluskan kesemua permohonan BN yang dimohon sejak hari penamaan calon pada Sabtu lepas untuk mendapatkan permit mengadakan ceramah politik, tetapi belum menerima permohonan daripada Pakatan Rakyat. BERNAMA

Tiada ulasan: