Selasa, 12 Ogos 2008

Anwar mula berkampung di Permatang Pauh 13 Ogos
Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mula berkampung di Permatang Pauh mulai 13 Ogos ini di mana berbagai aktiviti diatur untuk mempertahankan Permatang Pauh dalam Pilihan raya Kecil parlimen berkenaan pada 26 Ogos ini.

Setiausaha KeADILan Bahagian Permatang Pauh, Mohd Rodzi Abdul Hamid menyifatkan, kembalinya Anwar umpama 'sirih pulang ke gagang' kerana selama 17 tahun lalu beliau merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang berjaya membawa perubahan bukan kepada corak politik Pulau Pinang dan Permatang Pauh bahkan kepada kemajuan negara.

Beliau percaya, rakyat di parlimen ini tidak melupai jasa-jasa dan pengorbanan yang telah dibuktikan oleh Anwar dengan memberi undi kepada beliau ketika membuang undi kelak.

"Pengundi dan rakyat di Permatang Pauh merupakan rakyat yang betul-betul matang kerana memilih yang mana 'intan' dan yang mana 'manikam'. Walaupun Anwar tidak boleh bertanding kerana ditahan pengantinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut, " ujarnya ketika dihubungi di pejabat Yayasan Aman, Penanti sebentar tadi.

Sebagai permulaan program ialah perhimpunan semua jentera KeADILan Parlimen Permatang Pauh pada 13 ogos ini di Yayasan Aman bermula jam 8.00 malam dan menyampaikan ceramah perdana di Kampung Kota, Permatang Pasir pada malam yang sama.

Jelas beliau, Anwar hanya berpidato pada majlis besar di sekitar parlimen ini manakala ceramah berkelompok banyak melibatkan pemidato ternama dari KeADILan pusat atau dari negeri yang datang membantu.

Selain hanya berceramah beliau akan melakukan tinjauan ke serata tempat tumpuan rakyat seperti pasar raya, kampung-kampung, gerai, pasar serta penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal dan sebagainya.

"Apa pun kami di sini akan menjadualkan lawatan dan ceramah beliau mulai 13 Ogos ini. Antaranya lawatan ke beberapa buah gerai, pasar raya, pasar dan penyampaian sumbangan untuk ibu tunggal serta banyak lagi, " tegas beliau. - mks. _

Tiada ulasan: