Isnin, 4 Ogos 2008

Anwar harus dapat majoriti lebih 20 ribu undi kali ini
Oleh Bernama

BUTTERWORTH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin Barisan Nasional (BN) akan menggunakan isu peribadi penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai modal untuk berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tidak lama lagi.

Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, BN tidak mempunyai modal yang kukuh untuk berkempen melainkan menggunakan isu dakwaan liwat yang kononnya dilakukan Anwar.

"BN tidak boleh nak membangkitkan isu kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak dan pendidikan kerana orang dah tak mahu dengar lagi cerita itu.

"Saya percaya, dakwaan kes liwat itu akan diperbesarkan oleh BN untuk mengaburi mata rakyat dan kami telah bersedia untuk menghadapi perkara karut ini," katanya kepada pemberita di pejabat PKR Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Zahrain berkata, Pakatan Rakyat telah bersepakat untuk menggerakkan strategi dan kempen bersepadu bagi memastikan Anwar menang besar di Permatang Pauh.

Katanya, jika pada pilihan raya umum lalu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memperoleh majoriti lebih 13,000 undi, kali ini Anwar pula harus memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti lebih 20,000 undi.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri, Mustaffa Kamal Yusof akan mengetuai Pakatan Rakyat di Permatang Pauh.

Katanya, beliau akan dibantu oleh pengarahpengarah pilihan raya dari Pas dan DAP negeri untuk memastikan tiada pertindihan strategi dan kempen kali ini.

Menurutnya, Pakatan Rakyat akan menumpukan perhatian kepada 28 daerah mengundi di Parlimen Permatang Pauh dan setiap daerah akan mempunyai sebuah markas sebagai bilik operasi.

"Kami akan menetapkan tugas untuk partiparti di bawah Pakatan Rakyat pada Selasa ini," katanya.

Tiada ulasan: