Rabu, 20 Ogos 2008

Anwar dakwa disokong Sabah Sarawak bentuk kerajaan
Oleh G. MANIMARAN


PERMATANG PAUH: Dengan isu bersumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan masih mendapat tempat dalam kempen politik pilihan raya kecil di sini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi wakil-wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak akan menyertai beliau sebaik sahaja melangkah ke Parlimen minggu depan.

"Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak sudah berjanji akan (menyokong) membentuk kerajaan," kata beliau ketika mengadakan ceramah umum di Kg. Petani, Permatang Pasir di sini malam tadi.

Kata Anwar, ahli-ahli Parlimen dan parti politik dari kedua-dua negeri itu menyatakan sokongan untuk membentuk kerajaan sebaik sahaja beliau melangkah ke Parlimen.

Anwar telah menetapkan 16 September ini sebagai tarikh untuk membentuk kerajaan persekutuan baru.

Pembangkang yakin 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat ke Pakatan Rakyat bagi membolehkan pembentukan kerajaan baru.

Permatang Pasir merupakan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Permatang Pauh.

Anwar bertanding atas kapasiti sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), anggota Pakatan Rakyat.

Beliau hadapi saingan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Presiden Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Kerusi DUN Permatang Pasir dipegang oleh wakil PAS.

Sambil menegaskan pendiriannya untuk membentuk kerajaan khususnya kembali ke Parlimen bukan satu "kerja gila", sebaliknya perkara itu telah lama dirancang.

"Sepuluh tahun saya menanti. (Tempoh) 10 tahun bukan satu masa yang lama," kata beliau dalam nada mendendang lagu.

"Saya tidak gila, saya memang sudah lama rancang," katanya lagi.

Malah dalam ucapannya itu Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri yakin akan kembali muncul sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau menyandang kerusi itu dari 1982 hingga 1999 dan kemudiannya oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut hadir pada ceramah itu.

"Wan Azizah sudah memaklumkan saya, meminta saya pada tahun 2004 (untuk bertanding)," katanya.

"Pada tahun 2004, saya dah kata kalau ada peluang saya akan bertanding," katanya.

Bagaimanapun tambah Anwar, beliau terus berhadapan dengan halangan termasuk menghadapi kes meliwat sekali lagi membabitkan Saiful yang bersumpah pada Jumaat lalu.

mStar Online difahamkan kedua-dua parti menggunakan isu berkenaan, antara lain mengedarkan rakaman upacara bersumpah Saiful dan bahan cetakan bagi mempengaruhi penyokong masing-masing.

Anwar keluar penjara pada 2004 tetapi berhadapan dengan larangan tidak boleh memegang jawatan politik dan bertanding pilihan raya selama lima tahun. Larangan ini berakhir sebulan selepas pilihan raya umum ke-12 yang berlangsung Mac lalu.

Malah dalam ucapannya itu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat yakin akan bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Pada 26 Ogos kita menang, pada 29 Ogos Perdana Menteri akan membentangkan Bajet (2009), saya akan duduk bertentangan dengan beliau (sebagai Ketua Pembangkang)," katanya.

Bagaimanapun katanya, peluang kemenangan itu tidak harus diambil mudah kerana ada cubaan untuk menghalangnya daripada ke Parlimen.

Sehubungan itu, Anwar memberitahu, pihaknya akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bahawa BN mengambil kad pengenalan daripada sebahagian pemilih dan menyimpannya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil.

Sebuah blog pro-Anwar mendakwa BN berusaha untuk mengambil 20,000 kad pengenalan dan digantikan kad pengenalan palsu bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil minggu depan.

Tiada ulasan: