Isnin, 25 Ogos 2008

Angkat Anwar sebagai PM bagi selamatkan Malaysia - Dr Hatta
Wan Nordin Wan Yaacob


PERMATANG PAUH - Penyertaan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh adalah wadah rakyat menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan Umno-BN.

Malah penyertaan Anwar ini adalah pembuka jalan kepada hasrat rakyat mengangkatnya sebagai Perdana Menteri Malaysia menggantikan Perdana Menteri hari ini yang telah korup, kata AJK PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan ceramah kelompok di Rumah Pangsa Seberang Tenggiri dekat Seberang Jaya pada malam Rabu 20 Ogos lalu.

Majlis itu dihadiri kira-kira 500 penghuni sekitar flat dan perumahan berdekatan.

Bercakap lanjut mengenai penyertaan Anwar, Dr Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai berkata, rakyat perlu menilai wibawa Anwar kerana beliau cukup berpengalaman, pernah berada di puncak dan pernah terpenjara kerana memperjuangkan hak rakyat.

Berbeza dengan pemimpin Umno-BN, mereka hidup senang lenang dengan mengorbankan kepentingan rakyat, kata Dr Hatta sambil disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

"Pada 26 Ogos ini, rakyat Permatang Pauh akan membuang undi, saya yakin pada esoknya (27 Ogos), rakyat di sini akan berkonvoi menghantar Anwar mengangkat sumpah," katanya.

Malah ujar beliau, penghantaran Anwar ke Parlimen kali ini bukan sahaja untuk mengepalai Pakatan Rakyat atau bukan untuk menjadi Ketua Pembangkang.

Sebaliknya tegas Dr Hatta, kemasukan Anwar ke Parlimen kali ini mewakili suara keseluruhan rakyat yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan Dr Hatta itu disahut dengan laungan reformasi dan takbir selain 'makkal sakthi'.

Sementara itu tidak sampai 50 meter dari tempat Dr Hatta berceramah, kunjungan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke ceramah kelompok di khemah jentera BN di situ hanya disambut 20 orang penduduk sahaja.

Suasana suram mengiringi Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang memberikan ceramah seperti berbisik dalam kelambu.- tmj/mks._

Tiada ulasan: