Rabu, 20 Ogos 2008

(ANALISIS):

Arif yakin, Anwar optimistik menang walaupun 'dihantui' sakit belakang
Oleh G. MANIMARAN

"Saya OK, kecuali sakit belakang (yang masih berterusan) tetapi ia terkawal kerana saya mengambil ubat penahan sakit."

Ia antara reaksi awal Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mStar Online ketika ditemui pagi ketika beliau menemui pengundi-pengundi di kawasan Pekan Penanti.

Beliau sekali lagi menyatakan perkara yang sama apabila bercakap dengan wartawan yang mengikuti beliau sepanjang kempen di Pekan Penanti pagi ini.

Berdasarkan sokongan yang diterima setakat pagi ini, kata Anwar, beliau mendapat dorongan untuk terus mencari sokongan sebaik yang mungkin dan undi yang sebanyak mungkin.

Bagaimanapun beliau enggan berkongsi peratusan sokongan yang bakal dicapai pada 26 Ogos ini ataupun yang dianggarkan oleh pihaknya.

"Dari sudut itu (sokongan) saya mendapat semangat dan dorongan, tapi dari segi peratusan (undi) saya tidak tahu," kata Anwar, bekas penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Dari 1982 hingga 1999 beliau bertanding dan menyandang atas kapasiti sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Beliau dipecat pada 1998 dan dalam pilihan raya tahun 1999 isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertanding dalam menang.

"Saya terharu dengan sokongan yang diterima, termasuk daripada penyokong-penyokong Umno, BN. Rakyat di kawasan Permatang Pauh, OK," kata beliau sambil menambah, masalah sekarang ialah faktor tekanan luar yang datang ke Permatang Pauh. Beliau merujuk kepada jentera Umno dan BN.

"Tadi saya ada menemui ketua cawangan (Umno) di sini, mereka bersikap positif. Saya selalu menghormati keputusan mereka, mereka adalah kawan baik saya, anggota keluar yang saya tahu."

Calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah yang turut berkempen di kawasan Penanti juga sama-sama yakin boleh merampas balik kerusi ke pangkuan Umno dan BN.

Beliau berpegang pada tahap sokongan 45 peratus yang memihak kepada BN dengan 55 peratus kepada Anwar.

"Saya percaya boleh merampas kerusi ini (Permatang Pauh)," kata beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, yang menghabiskan kempen sebelah pagi di Taman Pauh Jaya dan Hospital Seberang Jaya.

Di peringkat ini. pelbagai angka diberikan mengenai trend sokongan selepas Dr. Wan Azizah menang dengan majoriti lebih 13,000 undi 8 Mac lalu.

Ramalan itu bermula daripada nisbah 60:40 peratus yang memihak Anwar dan ada juga yang mengatakan 70:30 dan 80:20 peratus.

Malah perangkaan ini berdasarkan pada trend kempen yang memasuki hari kelima hari ini.

Satu lagi statistik yang diberikan ialah 40:40:20 yang bermakna masing-masing dua calon utama tersebut memperoleh sokongan yang seimbang setakat ini manakala 20 peratus merupakan penyokong yang belum membuat keputusan.

Bagaimanapun tinjauan mStar Online di bilik-bilik gerakan Parti Keadilan Rakyat dan beberapa penyokong yang ditemui pagi ini meramalkan kemenangan besar bagi Anwar.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin juga meramalkan majoriti lebih besar kali ini berbanding dengan yang diperoleh Dr. Wan Azizah pada 8 Mac lalu. "Kita jangkakan majoriti besar kali, lebih daripada pilihan raya lepas (Mac)," kata beliau tetapi khuatir dengan kekuatan jentera pilihan raya BN dan penggunaan media.

Angkatan Muda PKR juga menjangkakan majoriti lebih besar dan tidak mahu memandang mudah.

Sepanjang kempen ini Anwar terus meletakkan isu-isu nasional sebagai modal kempennya.

Anwar dan Arif yakin akan mencapai kemenangan berdasarkan bilangan penyokong yang datang untuk mendengar kempen beliau dan ketika lawatan dari rumah ke rumah.

Anwar bergerak dengan satu konvoi yang besar bersama iringan penyokong yang ramai. Bagaimanapun Arif Shah masih menggunakan pendekatan sederhana dengan saiz rombongan iringan penyokong adalah terllau kecil.

Apakah ini petanda sokongan? Bolehkah kehadiran itu boleh diterjemahkan dalam bentuk sokongan pada hari pengundian.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, kedatangan orang ramai ketika ceramah tidak harus dianggap sebagai indikator ataupun petunjuk sokongan.

Ketika kempen malam tadi, Najib berkata, "mungkin ada kejutan nanti", seolah-olah merujuk kepada kemenangan luar jangkaan kelak.

Anwar ketika mengulas kenyataan itu pagi ini berkata, "kita tengok, kejutan untuk siapa."

Tiada ulasan: