Khamis, 14 Ogos 2008

AMK sambut baik penjelasan Nasharuddin, kukuh kerjasama
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik penjelasan terbuka oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berhubung isu muzakarah dengan Umno.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihaknya menerima alasan yang diberikan oleh Nasharuddin kerana ia melibatkan persetujuan oleh Majlis Syura pimpinan tertinggi PAS.

“Pada umumnya kita faham dan mengerti tentang sebab-sebab pertemuan tersebut diadakan.

“Namun bagi saya isu ini telah berlalu. Perkara yang utama sekarang ialah menumpukan perhatian kepada kerjasama dalam Pakatan Rakyat,” katanya selepas menghadiri majlis perasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-49 di Stadium Indera Mulia di sini malam ini.

Katanya kehadiran beliau pada majlis tersebut ialah bagi memberi tanda sokongan dan membuktikan jalinan kerjasama erat sesama komponen dalam Pakatan Rakyat.

“Saya beranggapan ucapan dasar oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub adalah isyarat yang cukup jelas bahawa pemuda dalam Pakatan Rakyat akan lebih bekerjasama dalam usaha memperjuangkan hak rakyat,” katanya.

Tambah beliau kerjasama sebegini akan lebih memantapkan semangat untuk meneruskan agenda menubuhkan kerajaan.

“Ini juga memperlihatkan bahawa hubungan erat antara kesemua komponen Pakatan Rakyat tidak mudah dipisah-pisahkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Selain itu beliau menyanjung tinggi arahan Salahuddin kepada jentera PAS agar sama-sama bergandingan bagi membantu Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

“Arahan kepada PAS untuk sama-sama turun (hadir) dan gempur di Permatang Pauh adalah sangat baik dan bijak.

“Saranan beliau agar kita menanggani semua isu dengan tertib adalah cukup berhemah dan penting dalam usaha untuk ambil alih kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: