Selasa, 19 Ogos 2008

Ahli PBT ikrar jadikan Klang setanding Kuala Lumpur
Saidah Hairan


SHAH ALAM - Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan berusaha memaju dan mengindahkan bandar Klang setanding dengan bandar raya Kuala Lumpur, kata ahli PBT, Jamuliddn Elias ketika ditemui di Perhimpunan Bulanan dan Kempen Jalur Gemilang di Dataran SUK, di sini hari ini.

Beliau berkata, di bandar Klang banyak peluang untuk menambahkan pendapatan pihak Majlis, sebagai contoh bangunan di bawah pentadbiran MPK boleh dibuka untuk ruang perniagaan.

"Ahli PBT yang baru dilantik akan berusaha menjadikan bandar Klang seperti Nilai, perniagaan alat-alat elektronik yang pusatnya mudah dikunjungi oleh orang ramai," katanya.

Menurut beliau, ahli PBT juga menggalakkan mereka yang berniaga secara haram mendapatkan lesen supaya dapat menjalankan perniagaan dengan lebih selesa.

Lebih menarik katanya, satu perubahan yang akan dilakukan awal September nanti iaitu stesen bas di bandar Klang akan berpindah di Klang Centre iaitu jalan ke Meru.

Ini bagi mengelakkan kesesakan yang mengganggu masa dan keselesaan pengguna jalan raya, katanya.

Berhubung kesesakan jalan raya terutama di bandar Klang, beliau mengucapkan terima kasih di atas kerjasama anggota polis trafik yang didatangkan khas dari Bukit Aman.

"Kita sudah lima kali membincangkan masalah kesesakan lalu lintas di Klang dan insiatif yang diambil oleh Bukit Aman dengan menghantar polis trafik yang ramai," jelasnya.

Selain itu katanya, menjelang Ramadan ini ahli PBT telah memutuskan bahawa pengurusan bazar Ramadan akan diserahkan di bawah kelolaan MPK.

Beliau berkata, ini merupakan tahun pertama bazar Ramadan diserahkan di bawah MPK jika dibandingkan dahulu di bawah kelolaan JKKK.

Menyentuh soal sewa bazar Ramadan katanya, kadarnya berpatutan bagi meringankan bebanan peniaga. - lanh _

Tiada ulasan: