Ahad, 10 Ogos 2008

815 Ketua Kampung terima watikah pelantikan
Alhusseyn

IPOH - Seramai 815 Ketua Kampung di seluruh negeri Perak telah menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Kampung dalam satu majlis Penyerahan Watikah Ketua Kampung Negeri Perak yang telah diadakan di Dewan Bankuet di sini baru-baru ini.

Penyerahan Watikah tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim,beberapa Ahli Exco Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan kerajaan adalah antara jemputan kehormat dalam majlis tersebut.

Terdahulu dari itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ,Dato'Dr Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya ,telah merakamkan ucapan terima kasih kepada Penghulu , Pegawai Daerah dan kakitangan yang terlibat dalam menjayakan pemilihan 816 Ketua-Ketua Kampung di Perak.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah berjaya dipilih oleh penduduk kampung masing-masing menjadi Ketua Kampung yang baru.

Sementara Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin dalam ucaptamanya berharap pelantikan tersebut dapat meningkatkan usaha penyampaian maklumat dan hasrat rakyat untuk diambil tindakan oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri tidak mahu kedengaran apa jua yang menjadi amalan sebelum ini, terutama dalam pengagihan bantuan yang diutamakan kepada mereka yang menjadi ahli kepada kumpulan tertentu sahaja, akhirnya, rakyat yang berhak telah menjadi mangsa kerana dinafikan haknya apabila mempunyai pendirian berbeza,"pesan Nizar kepada Ketua-Ketua Kampung.

Beliau mengingatkan mereka, tentang amanah dan keadilan adalah dua konsep yang mesti diterapkan secara menyeluruh dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira perbezaan agama atau fahaman sepertimana dituntut Islam.

"Sebagai Ketua Kampung, amanah dan adil itu mesti menjadi pegangan utama dalam melaksanakan tanggungjawab,"katanya.

Dalam pada itu,Nizar telah menyatakan kesalnya terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan kerana mempersenda-sendakan usaha Kerajaan Negeri membuat pemilihan Ketua Kampung ini secara terbuka.

"Sikap Kerajaan Persekutuan yang kemudian melantik Ketua Kampung Persekutuan di bawah JKKKP ini sebenarnya hanya memecah belahkan perpaduan masyarakat di kampung-kampung dan ternyata bercanggahan dengan konsep perpaduan yang dilaungkan.

"Bagi menjaga dan memelihara kestabilan dan kesejahteraan rakyat Negeri Perak, Kerajaan Negeri melarang sama sekali JKKKP ini daripada mengguna kemudahan awam di kampung-kampung,"jelas Nizar. - mks. _

Tiada ulasan: