Khamis, 3 Julai 2008

Najib dituduh bersama Altantuya
Jimadie Shah Othman


Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dikaitkan dengan Altantuya Shaariibuu - yang ditemui terbunuh di sebuah kawasan terpencil di hutan Puncak Alam - kali ini dakwaan yang lebih menggemparkan daripada penyiasat persendirian kepada penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda.

Penyiasat persendirian itu, P Balasubramaniam hadir dalam sidang media bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR Petaling jaya hari ini.

Dalam akuan berkanunnya, Balasubramaniam memberikan beberapa butiran maklumat yang didakwa menunjukkan hubungan awal antara mangsa bunuh dengan pemimpin negara itu.

Balasubramaniam, yang ditahan polis di awal siasatan kes berprofil tinggi itu, turut mendakwa keterangannya mengenai Najib telah tidak dimasukkan dalam kenyataan beramarannya.

Dakwaan-dakwaan tersebut terkandung dalam akaun berkanunnya setebal 16 halaman - yang turut diedarkan di sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya tengah hari ini.

Akuan berkanun tersebut difailkan pada 1 Julai.

Balasubramaniam juga mendedahkan bahawa Najib telah memberitahu Abdul Razak bahawa ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan akan "menguruskan" kes bunuh yang membabitkan rakan rapatnya.

Dan beliau turut mendedahkan bahawa bahagian yang mengaitkan Najib dalam kes tersebut, telah dibuang oleh pihak polis dari pada kenyataan beramarannya, untuk melindungi pemimpin itu.

Hantar SMS

Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak untuk menguruskan Altantuya yang datang ke Malaysia pada tahun 2006 untuk menyelesaikan beberapa perkara dengan penganalisis itu.

Tidak lama selepas itu, Altantuya ditemui terbunuh di sebuah kawasan terpencil di Shah Alam, Selangor.

Dalam akuan berkanunnya itu, Balasubramaniam berkata, beliau diberitahu oleh Abdul Razak mengenai hubungan Najib dengan Altantuya.

Beliau juga mendedahkan bahawa Abdul Razak telah menghantar SMS kepada Najib pada hari beliau ditahan berhubung siasatan pembunuhan Altantuya dan telah menerima jawapan daripada Najib yang menyatakan "beliau telah bercakap dengan ketua polis negara".

Balasubramaniam berkata, dalam jawapannya itu, Najib telah memberitahu Abdul Razak bahawa "perkara itu akan diuruskan oleh ketua polis negara".

Pegawai penyiasat itu juga mendedahkan bahawa beliau telah memberitahu semua itu kepada polis ketika mereka mengambil kenyataannya, tetapi terperanjat kerana semua bahagian yang membabitkan Najib, tidak dimasukkan dalam kenyataan tersebut.

Laporan polis

Balasubramaniam juga memberitahu sidang media tersebut bahawa beliau membangkitkan isu itu sekarang kerana kecewa dengan pihak pendakwaan - yang telah menutup kes pendakwaan terhadap dua anggota polis dan Abdul Razak yang dituduh membunuh Altantuya - kerana tidak berbuat apa-apa untuk mengemukakan keterangannya mengenai Najib.

Katanya, beliau tidak ditanya langsung mengenai perkara itu apabila memberi keterangan di mahkamah. Beliau merupakan saksi pertama pihak pendakwa.

Anwar berkata, ini membuktikan bahawa pihak polis dan pihak pendakwa, terutama Musa dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, telah menyembungikan maklumat yang relevan dengan kes tersebut.

Ketua umum PKR itu bimbang bahawa mereka akan melakukan perkara yang sama dalam siasatan kes liwat terhadapnya sekarang, ekoran dakwaan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar juga telah membuat laporan polis terhadap Musa dan Gani Isnin lalu yang didakwanya memalsukan bukti dalam kes ditumbuk Tan Sri Rahim Noor, ketua polis negara waktu itu, pada 1998.

Timbalan perdana menteri sebelum ini beberapa kali menafikan beliau mengenali wanita Mongolia itu dan juga menafikan sebarang kaitan dengannya.

Tiada ulasan: