Selasa, 29 Julai 2008

Kerajaan Negeri Timbang Longgarkan Syarat Mohon Bantuan Masuk IPT
NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM - Kerajaan negeri menimbang untuk melonggarkan syarat bagi permohonan hadiah kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata syarat sedia ada sekarang iaitu pendapatan keluarga pemohon sebanyak RM1,500 ke bawah mungkin dinaikkan sehingga RM3,000.

“Saya sedang mencuba untuk memberikan bantuan pelajaran ini kepada mereka yang mempunyai pendapatan keluarga mencecah RM3,000, ia mungkin tahun depan,” katanya.

Beliau berkata cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Katanya, ia mungkin direalisasikan dalam fasa kedua agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) selepas pengenalan beberapa dasar antaranya Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dan Caruman Takaful Warga Emas.

Bermula bulan ini, kerajaan negeri memberi bantuan RM1,000 kepada pelajar IPT awam dan swasta yang datang dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Bantuan itu diberi kepada pelajar yang mengikuti pengajian kali pertama peringkat Diploma dan Ijazah Pertama bagi kemasukan Julai.

Kira-kira 8,500 pelajar dianggarkan layak menerima bantuan melalui peruntukan RM10 juta yang disediakan kerajaan negeri

Tiada ulasan: