Ahad, 20 Julai 2008

Kerajaan negeri tetap tidak iktiraf JKKKP
Sinar Harian


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, tindakan itu dibuat kerana mengikut undang-undang pelantikan jawatankuasa kampung dan ketua kampung di bawah kuasa kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri tidak mengiktiraf sebarang bentuk pengesahan yang dibuat oleh JKKKP jadi disarankan agar masyarakat tidak mendapatkan khidmat mereka dalam melakukan urusan yang melibatkan kerajaan negeri.

“Kita perlu ingat bahawa dalam program luar bandar, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), jalan luar bandar dan Jabatan Orang Asli adalah milik Kerajaan Persekutuan dan jawatankuasa kampung atau ketua kampung milik kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Yaakob berkata, seharusnya Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Senator Tan Sri Muhammad Muhad Taib faham mengenai undang-undang dan demokrasi di negara ini kerana pelantikan JKKKP akan menyusahkan masyarakat dan dikhuatiri berlaku perpecahan dalam institusi kampung.

Beliau menyarankan agar nama jawatankuasa terbabit kepada Penyelia Kemas kerana jabatan itu adalah milik Kerajaan Persekutuan

“Kerajaan negeri merasakan ini satu strategi politik yang dibuat Kerajaan Pusat. Mereka sengaja memecahbelahkan kampung dan keadaan ini sebenarnya menyusahkan ramai pihak,” katanya.

Yaakob berkata, sebahagian besar JKKKP yang dilantik adalah di kalangan Ketua UMNO cawangan dan perkara ini akan menimbulkan keadaan yang tidak adil dalam pentadbiran kampung, sedangkan pelantikan yang dibuat oleh kerajaan negeri adalah terbuka.

Sebaliknya kata Yaakob, pelantikan yang dibuat oleh kerajaan negeri tidak melibatkan sebarang unsur politik kerana JKKK yang dilantik perlu menumpukan usaha kepada kemajuan kampung dan bukan untuk berpolitik.

“Masyarakat akan keliru, dalam urusan kerajaan negeri JKKKP ini tidak ada fungsinya kerana ia tidak diiktiraf. Mereka hanya berfungsi sebagai pengambil duit Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tiada ulasan: