Khamis, 24 Julai 2008

(Dikemas kini)

PAS tolak muzakarah, syor muqabalah dengan Umno
Oleh G. MANIMARAN dan NURUL AIN HUSSAIN


PETALING JAYA: Empat hari selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan membabitkan beliau dan tiga pemimpin PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, pemimpin-pemimpin PAS petang ini sebulat suara menolak muzakarah antara Umno-PAS.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin kanan PAS yang bertemu di Kelantan petang ini mengesyorkan diadakan muqabalah sahaja - pertemuan bersemuka.

Perkembangan ini menandakan PAS menolak sebarang dialog kerjasama politik kedua-dua parti.

Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat petang esok.

Sambil menegaskan PAS sememangnya berminat untuk mengadakan pertemuan dan bersemuka dengan pemimpin Umno bagi membincangkan mengenai masa depan umat Islam, pemimpin-pemimpin parti itu berkata, perbincangan yang disyorkan perlu diadakan secara bersemuka berbentuk "muqabalah" dan bukannya dalam bentuk perdebatan yang dinamakan muzakarah seperti diminta oleh Umno.

Justeru, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekarang beliau menutup fail berhubung syor "muzakarah" tetapi membuka konsep "muqabalah".

"Apa yang saya dimaklumkan ialah pertemuan-pertemuan (sebelum ini) dengan Umno hanya diadakan atas dasar peribadi. Kesemua itu adalah benar dan ia dilakukan untuk memperkukuhkan Islam," kata beliau kepada pemberita

Kata sepakat itu dicapai dalam satu pertemuan yang diadakan kira-kira tiga jam di kediaman Menteri Besar Kelantan itu di Kota Bharu.

"Saya mahukan muzakarah itu ditukarkan kepada muqabalah dalam membincangkan isu berkaitan umat Islam kerana ianya lebih sesuai," kata Nik Abdul Aziz.

Pertemuan itu diadakan tiga hari selepas beliau menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pertemuan bersifat muzakarah antara pemimpin Umno-PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa turut hadir pada mesyuarat itu.

Nasharudin merupakan antara tiga pemimpin yang telah menemui Abdullah dalam tiga pertemuan lalu.

Abdul Hadi mengetuai rombongan empat wakil Majlis Syura menemui Nik Abdul Aziz bagi menerangkan isu muzakarah dan tiga pertemuan yang telah diadakan dengan Umno.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz melahirkan pandangan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan segera kerana jika ia diteruskan, parti berteraskan Islam itu bakal menghadapi perpecahan.

Beliau mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS.

"Saya nak tanya kepada orang PAS sama ada nak jaga PAS atau Islam. Kalau nak jaga PAS, ini (muzakarah) bukan caranya dan jika nak jaga Islam juga bukan ini caranya kerana berkawan dengan Umno seperti menghancurkan Islam," katanya.

Nik Abdul Aziz berkata jika muzakarah itu menjadi realiti, PAS akan menjadi seperti "kera sumbang" dan tidak lagi dipercayai oleh sekutunya daripada Pakatan Rakyat termasuk penyokong PAS sendiri.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri mendedahkan Umno telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan PAS bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Abdullah berkata, bagaimanapun pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS itu tidak disertai Nik Aziz.

Nik Abdul Aziz berkata, tidak timbul isu pertemuan PAS dan Umno akan membawa kepada penggabungan kedua-dua parti kerana pertemuan itu lebih berbentuk kerjasama demi satu matlamat dan turut menafikan isu muzakarah itu telah memecahbelahkan kepimpinan PAS.

Abdul Hadi yang dipetik Bernama pula berkata, muzakarah yang dinamakan oleh Umno lebih kepada bentuk perdebatan sedangkan apa yang dimahukan oleh Umno adalah muqabalah iaitu perbincangan untuk selesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, PAS boleh menjalinkan kerjasama dengan Umno berdasarkan satu matlamat iaitu membincangkan masa depan Umat Islam di negara ini.

Kata beliau, adalah menjadi satu kewajipan agama bagi PAS untuk mengadakan perbincangan itu kerana PAS sememangnya parti yang memperjuangkan Islam demi kepentingan orang Islam dan bukan Islam.

Abdul Hadi menafikan bahawa pertemuan itu akan menyebabkan PAS menyertai Umno kerana PAS mampu memenuhi kehendak politik rakyat berdasarkan sokongan rakyat yang dicerminkan dalam pilihan raya umum lepas.

"Walaupun berbeza pendirian politik ia tidak akan menjadi halangan untuk PAS dan Umno duduk berbincang," katanya.

Jelas beliau, pertemuan untuk mengadakan perbincangan secara muqabalah itu telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat sejak April lalu.

Abdul Hadi turut menafikan pertemuan tiga pemimpin PAS sebelum ini dengan Abdullah selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno dilakukan atas arahan beliau.

"Tiga pertemuan itu dilakukan atas usaha Presiden Umno dan bukan Presiden PAS," katanya.

Tiada ulasan: