Isnin, 23 Jun 2008

Pegawai Khalid digantung 2 bulan
Jimadie Shah Othman


Pegawai kanan menteri besar Selangor, yang disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengagihan kontrak pembuangan sampah di Petaling Jaya, digantung tugasnya selama dua bulan.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pegawai tugas-tugas khas itu telah dimaklumkan tentang penggantungan mulai semalam melalui mesej SMS "agar beliau tidak terkejut".

Pada 10 Jun lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil pegawai kanan berkenaan selama empat jam berhubung siasatan kes kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya.

Pada 5 Jun, sekumpulan empat orang yang mendakwa ahli PKR dilaporkan telah membuat aduan kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang membuktikan pegawai kanan terbabit terlibat dalam meluluskan kontrak dan tender itu kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan Abdul Khalid.

Di sidang medianya hari ini, menteri besar itu berkata jika tidak bersalah, pegawai kanan itu akan diambil semula bekerja.

"Kita tulus, kita kena buat dengan betul. Kalau pegawai itu tidak bersalah maknanya dia akan diambil balik untuk bekerja, kalau bersalah kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.S) di Shah Alam.

Abdul Khalid menambah, siasatan BPR mendapati pada keseluruhannya ia bukanlah kesalahan daripada segi undang-undang tetapi daripada segi "tingkah laku yang tidak wajar".

"Boleh jadi dengan perkara itu ada andaian konflik kepentingan atau sokongan tidak wajar," katanya lagi, sambil menambah beliau merujuk perkara itu dengan seorang pegawai BPR.

Beliau berkata surat penggantungan kerja itu bagi membolehkan siasatan ke atas fail-fail berkenaan.

Setiausaha politiknya Nik Nazmi Nik Ahmad diarahkan bertemu empat ahli PKR yang membuat kenyataan berkenaan pegawai kanan itu.

Dihubungi hari ini, pegawai tugas-tugas khas menteri besar itu Yahya Shahri , mengesahkan penggantungannya.

Beliau dijadual mengadakan sidang media 4 petang ini di lobi bangunan Parlimen.

Jika didapati perkara itu sangat serius, tambah Khalid, kerajaan negeri akan mengemukakan kes itu kepada Jawatakuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: