Sabtu, 28 Jun 2008

Bekas pegawai Menteri Besar nafi tuduhan Ezam
Sinar Harian


SHAH ALAM - "Ezam berbohong. Tiada sebarang kutipan wang disalurkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sempena Sambutan 100 Hari Pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di Selangor seperti yang didedahkannya," kata bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Shari kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti yang menunjukkan tiada wang yang masuk ke dalam akaun PKR yang disumbangkan oleh syarikat swasta di negeri itu seperti yang didakwa bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Nor sebelum ini.

"Setelah diadakan musyawarah dalam Mesyuarat PKR Selangor semalam (kelmarin) semua bukti telah saya kemukakan bagi membuktikan semua dakwaan yang dibuat oleh Ezam itu adalah tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi semalam.

Namun begitu katanya, beliau tidak berhajat mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Ezam walaupun pembohongan itu telah menjejaskan kredibilitinya kerana beliau percaya kebenaran pasti terserlah suatu hari nanti.

"Biar Allah yang menentukan. Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini juga jelas bertentangan kerana beliau tidak pernah merujuk kepada saya mengenai akaun tersebut. Saya tidak pernah diberi peluang untuk menjelaskannya," katanya.

Beliau yang bertindak sebagai urusetia penganjur Sambutan 100 Hari Pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini menjelaskan, sambutan berkenaan dibuat adalah atas kapasiti parti politik dan bukannya anjuran kerajaan negeri.

Namun memandangkan pada ketika itu parti tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk menganjurkan sambutan berkenaan, katanya, pihaknya menghantar surat kepada semua syarikat swasta awal Mei lalu bagi mengutip sumbangan bagi merealisasikan sambutan berkenaan.

"Bagaimanapun kita hanya menggunakan kepala surat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan bukannya kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor seperti yang didakwa oleh Ezam.

"Bukan itu sahaja kaedah digunakan untuk mengutip sumbangan, kita turut mencari penaja kepada buku cenderamata dengan niat untuk menjayakan sambutan berkenaan yang kurang diberi perhatian pada awalnya," katanya.

Namun katanya, tiada satu pun syarikat swasta yang memasukkan wang ke dalam akaun berkenaan seperti yang dilaporkan sebelum ini dan menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Menjelaskan mengenai penggunaan akaun PKR untuk tujuan penyaluran wang derma itu, Yahya menjelaskan ia adalah satu-satunya akaun yang sah untuk dimasukkan wang derma berkenaan.

"Pada masa itu kita belum mempunyai akaun Pakatan Rakyat (PR), jadi hanya akaun PKR yang paling sesuai, bagaimanapun tiada sebarang jumlah derma yang dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

"Saya merasakan isu ini telah berjaya diselesaikan secara dalaman dengan baik kerana tiada sebarang penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan yang dilakukan," katanya lagi.

Tiada ulasan: